Tuesday 26 January 2010

Warisan Kesultanan Melayu

SOALAN 1

Apakah yang dimaksudkan dengan Pembesar Empat Lipatan?

Pembesar Empat Lipatan ialah gelaran empat pembesar utama di peringkat pusat di negeri Melaka, iaitu Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Mereka ini juga digelar `Orang Kaya Berempat'. Mereka dibantu oleh pembesar 8, 16 dan 32.


SOALAN 2

Huraikan sistem pembesar di peringkat pusat di Melaka dan negeri-negeri di bawah pengaruhnya?

Bendahara

Bedahara ialah orang kedua selepas Sultan. Beliau ibarat sebagai Perdana Menteri dan Penasihat Sultan. Bendahara juga ketua hakim dan ketua seluruh pentadbiran. Untuk menjadi Bendahara perlu menjadi Penghulu Bendahari dan Temenggung terlebih dahulu.

Penghulu Bendahari

Penghulu Bendahari ialah orang kedua selepas Bendahara. Beliau bertindak selaku setiausaha kerajaan. Beliau adalah ketua pemegang khazanah dan harta kerajaan.

Temenggung

Temenggung ibarat sebagai Ketua Polis Negara. Beliau akan menjaga keselamatan dalam negeri. Temunggung akan menentukan timbangan dan kes jenayah kecil.

Laksamana

Laksamana ibarat ketua angkatan laut. Beliau akan menentukan keselamatan dan keamanan di perairan Melaka. Laksamana akan menjadi pengawal peribadi Sultan. Selain itu laksamana merupakan ketua utusan ke seberang laut.


SOALAN 3

Terdapat perbezaan yang ketara antara pembesar di peringkat pusat di beberapa negeri. Jelaskan perbezaan sistem pembesar di peringkat pusat di Kelantan dan di Negeri Sembilan.

Di Kelantan

Sistem pembesar peringkat pusat di Kelantan dapat dilihat apabila Sultan Muhammad I melantik 7 orang pembesar iaitu:

- Long Jenal digelar Raja Bendahara Banggol

- Long Ismail digelar Raja Kampung Laut

- Long Yusof digelar Raja Bukit Panor

- Tengku Long Muda digelar Tengku Kota

- Long Tan digelar Tengku Aria Pahlawan

- Anak Penghulu Adas digelar Dato Kaya Hulubalang Kaduk

- Anak Mandor Mes digelar Dato Panglima Perang Londang

Semasa pemerintahan Sultan Muhammad II, baginda melantik 8 Jemaah Menteri untuk melicinkan pentadbirannya. Jemaah Menteri itu ialah:

- Jemaah Menteri Perbendaharan

- Jemaah Menteri Peperangan

- Jemaah Menteri Pentadbiran

- Jemaah Menteri Luar

- Jemaah Menteri Dalam Negeri

- Jemaah Menteri Istana

- Jemaah Menteri Keadilan dan Kehakiman

- Jemaah Penasihat Raja

Di Negeri Sembilan

Sistem pembesar peringkat pusat di Negeri Sembilan pula seperti berikut:

- Berasaskan atau mengikut adat Perpatih.

- Dibahagikan kepada daerah dan jajahan (Luak).

- Ketua dipanggil Undang, Penghulu, Lembaga, Buapak. Contoh: Undang (Luak) Rembau, Sungai Ujong, Jelebu.

- Undang memilih atau melantik Yamtuan Besar.

- Terdapat juga Lembaga dan Buapak iaitu gabungan ibu dan bapa.


SOALAN 4

Huraikan tugas pembesar di peringkat jajahan dan daerah?

Tugas pembesar di peringkat jajahan dan daerah ialah:

i Menjaga dan mengekalkan keamanan seluruh kawasan pentadbirannya.

ii Memungut cukai daripada penduduk (dipanggil kawasan`pemakanan')

iii Menyerahkan sebahagian daripada pendapatan dan cukai kepada pemerintah.

iv Menyediakan tenaga buruh untuk membina istana baru,kapal raja, panggung, pentas dan perhiasan istana untuk menyambut perayaan adat dan agama.

v Membekalkan tenaga ketenteraan kepada kerajaan.

vi Mengkehendaki mengadap Sultan dan melaksanakan adat menjunjung duli pada tiap-tiap sambutan Hari Raya Puasa.


SOALAN 5

Apakah peranan penting pembesar peringkat kampung?

Pembesar peringkat kampung digelar Penghulu atau penggawa, Imam dan Pawang. Peranan pembesar peringkat kampung ialah:

i. Penghulu menjadi orang perantaraan antara pembesar daerah dengan rakyat.

ii Penghulu memungut cukai daripada penduduk kampung.

iii Penghulu membekalkan tenaga tentera semasa peperangan.

Iv Penghulu mendapatkan buruh untuk pembinaan istana dan sebagainya.

v. Penghulu memastikan seluruh rakyat di kampung taat setia kepada Sultan.

vi Pemimpin agama. Contohnya Imam akan mengetuai soal ibadat di masjid.

vii Pawang/bomoh juga menjadi pemimpin peringkat kampung, akan mengubati

pesakit dengan kuasa magis.


SOALAN 6

Jelaskan ciri-ciri Institusi Kesultanan Melayu yang menjadi sanjungan rakyat

Dalam institusi kesultanan Melayu, Sultan menduduki tempat tertinggi dalam pemerintahan dan pentadbiran di negeri masing-masing. Konsep Sultan dipengaruhi oleh unsur Hindu dan kemudiannya pengaruh Islam.

Pada zaman kerajaan awal raja digelar `devaraja', iaitu raja yang memerintah dianggap luhur dan suci. Selepas kedatangan Islam raja menggunakan gelaran `Sultan' dan dianggap Amirul-Mukminin (bererti pemimpin orang mukmin)

Sultan berkuasa mutlak. Pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, Sultan disebut `Zulliahifil`Alam' (bererti Sultan yang memerintah di dunia adalah wakil Allah di bumi).

Setelah ditabalkan menjadi sultan, seseorang Sultan dianggap berdaulat. Dalam pertabalan selalunya diakhiri dengan pengakuan dan pengiftirafan oleh rakyat dengan seruan `Daulat Tuanku' sebanyak 3 kali.

Sultan merupakan tunggak menyatupadukan rakyat, mengamankan dan memakmurkan negeri, berkuasa dalam segala hal ehwal dalam negeri, agama Islam, peperangan dan hubungan luar negeri.

Rakyat mengikut dan menjalankan titah raja dan taat setia. Sesiapa engkar dianggap menderhaka dan akan ditimpa tulah.

Sultan memiliki pelbagai keistimewaan seperti penggunaan bahasa, hak istimewa raja, iaitu penggunaan warna dan perhiasan rumah dan perahu, alat kebesaran diraja dan penggunaan nobat diraja.

Sultan mempunyai cop mohor yang menandakan lambang kuasa dan pengesahan. Sultan melaksanakan pemerintahan dan pentabiran negeri.


SOALAN 7

Apakah maksud daulat?

Perkataan daulat berasal daripada perkatan Arab, iaitu `daulah'yang bererti kerajaan/negeri. Daulat jaga dikaitkan dengan soal kesempurnaan, kebolehan, keistimewaan dan kuasa politik tertinggi seseorang sultan. Ia juga bererti kekuasaan dan kewibawaan seseorang Sultan yang memerintah dan kebahagiaan kepada Sultan yang memerintah.

Huraikan kepentingan daulat?

Kepentingan daulat ialah:

i Sultan mempunyai kuasa dan wibawa untuk memerintah dengan berkesan.

ii Sultan adalah tunggak untuk menyatupadukan rakyat.

iii Sultan akan mengamankan dan memakmurkan negeri.

iv Rakyat mengikut dan menjalankan titah Sultan dengan taat setia dan sesiapa yang engkar dianggap menderhaka.

Bagaimanakah Sultan memperkukuhkan daulat?

Sultan memperkukuhkan daulat melalui penggunaan bahasa, bahasa yang digunakan oleh Sultan dan kerabat ialah `bahasa dalam'. Contoh : gering, titah, patik, santap, beradu dan sebagainya.

Sultan mengukuhkan daulat melalui hak istimewa raja. Contohnya melalui penggunaan:

-warna dan perhiasan rumah dan perahu.

- Payung berwarna putih digunakan untuk raja sahaja

- Anak raja dibenar menggunakan payung berwarna kuning

- Warna kuning digunakan untuk perhiasan, membuat sapu tangan, tepi tabir, hulasan bantal besar dan tilam."

Sultan mengukuhkan daulat dengan penggunaan alat kebesaran raja. Contohnya:

- Cop mohor menjadi lambang kuasa raja yang memerintah.

- Penggunaan alatan ketur, kipas, kendi dan tepak.

- Penggunaan beberapa jenis senjata seperti pedang, keris kerajaan, lembing, tombak berambu.

- Penggunaan payong ubur-ubur berwarna kuning.

Sultan mengukuhkan daulatnya memalui penggunaan peralatan nobat diraja, iaitu sejenis alatan muzik tradisional yang digunakan untuk upacara rasmi dan menandakan lambang kedaulatan kuasa dan kebesaran seseorang raja.

Sultan mengukuhkan daulatnya melalui konsep daulat derhaka, Raja menggunakan konsep ini untuk memastikan rakyat jelata tidak menderhaka.


SOALAN 8

Jelaskan gaya hidup rakyat jelata?

Gaya hidup rakyat jelata memperlihatkan hubungan antara individu dan pertalian kekeluargaan sangat rapat. Jiran berhampiran dianggap sebagai keluarga sendiri.

Mereka saling hormat-menghormati antara individu, terutamanya antara orang muda dengan orang yang lebih tua. Mereka menggunakan gelaran seperti pak cik, pak long, mak long dan sebagainya.

Apabila berjalan dengan penuh sopan dan tertib, apabila bercakap dengan nada suara yang rendah. Perbuatan mencampuri perbualan orang tua adalah biadap.

Orang tua menjadi sumber panduan dan nasihat. Apabila seseorang datang berziarah, perlu memberi salam kepada tuan rumah, membasuh kaki dan bersalam.

Setiap tetamu dilayan dengan penuh hormat. Selalunya tuan rumah menghamparkan tikar, menyorong tepak sirih dan menghidangkan makanan dan minuman.

Apabila bersalam, kanak-kanak hendaklah mencium tangan orang yang lebih tua.

Apabila makan dan minum , hendaklah mulai dengan membaca `Bismillah' dan makan dengan penuh sopan dan tertib.

Amalan berderau atau gotong-royong dilakukan untuk mengerjakan sawah, menuai padi, membina rumah/masjid, kenduri-kendara. Membuat kerja tanpa upah. Mengamalkan konsep `berat sama dipikul ringan sama dijinjing' dan `bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat'.

Kegiatan masa lapang diisi dengan berbagai kegiatan kesenian dan permainan seperti tarian, dikir barat, wayang kulit, membuat ukiran dan anyaman, bermain gasing, wau, sepak raga, congkak, pertandingan silat.

Kesusasteraan rakyat dikembangkan secara lisan, seperti cerita dongeng, cerita binatang, cerita jenaka dan hikayat-hikayat yang disampaikan oleh Tok Selampit. Hasil puisi seperti pantun, syair, gurindam dan seloka juga dihasilkan. Sastera lisan ini menjadi sumber hiburan utama selepas seharian bekerja keras.


SOALAN 9

Apakah perbezaan kegiatan masa lapang golongan bangsawan dengan rakyat jelata ?

Kegiatan masa lapang golongan bangsawan

Kesenian golongan bangsawan ialah bermain muzik, tarian, dan lakonan.

Alatan muzik golongan bangsawan ialah gendang, rebana, rebab, muri, dandi, kecapi, kopok, ceracap, serunai dan nafiri. Alatan ini dimainkan semasa menyambut sesuatu perayaan di istana.

Tarian golongan bangsawan Tarian asyik dan makyong : Terdapat kumpulan penari khas (biduanda).

Jenis permainan golongan bangsawan ialah sepak raga, catur, dan congkak.

Golongan bangsawan menghabiskan masa lapang dengan mempelajari seni mempertahankan diri. Ini ada kaitan dengan strategi peperangan untuk mempertahankan negeri atau meluaskan jajahan takluk.

Golongan bangsawan menghabiskan masa lapang menceburi bidang sastera bertulis. Dibidang persuratan mereka mengarang buku dan syair Contohnya Sejarah Melayu olehTun Sri Lanang, dan Kitab Nazam Kanzul Ula oleh Tokku Paloh

Kegiatan masa lapang rakyat jelata.

Golongan rakyat jelata menghabiskan masa lapang dengan kegiatan kesenian seperti memahat, mengukir untuk perhiasan rumah, pintu dan tingkap.Golongan rakyat jelata mencipta kraftangan dan aktiviti perhiasan seperti tembaga dan perak.

Kegiatan masa lapang juga dihabiskan dengan hiburan seperti dikir barat, boria, dondang sayang, canggung, rodat, dabus, hadrah, kuda kepang, randai, sumazau, ngajat dan gendang Melayu."

Permainan masa lapang pula ialah sepak raga , catur, congkak, gasing, dan wau.

Golongan rakyat juga menghabiskan masa lapang melalui seni mempertahankan diri. Aktiviti ini melibatkan cara menggunakan senjata dan teknik berperang.

Aktiviti kesusasteraan pula ialah sastera lisan yang disampaikan secara lisan. Contohnya prosa iaitu kisah dongeng, asal usul, cerita binatang, cerita jenaka dan penglipur lara. Ia sebagai alat untuk hiburan dan diselitkan dengan pengajaran. Contoh puisi pula ialah bahasa berirama, pantun, syair, gurindam, seloka, pepatah, petitih, kias dan ibarat. Cerita hikayat pula disampaikan secara lisan oleh tukang cerita iaitu Tok Selampit.

Selain itu masa lapang juga di habiskan dengan bertukang, seperti membuat rumah, perahu dan sebagainya.

Golongan wanita pula menjalankan kegiatan menenun kain sutera dan sarung. Ia dijalankan di Kelantan, Pahang dan Trengganu


SOALAN 10

Huraikan kegiatan ekonomi tradisional masyarakat Melayu di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah British?

Kegiatan ekonomi masyarakat Melayu sebelum kedatangan British itu adalah seperti membuat kerja biasa seperti mengambil upah memetik kelapa, menjadi pengayuh perahu, menjadi penyaer atau penyanyi.

Masyarakat Melayu tradisi juga menjalankan kegiatan menanam pelbagai jenis tanaman, sayuran, padi, buah-buahan dan tebu. Selain itu ada yang meramu, iaitu mencari hasil hutan untuk dijual. Antaranya seperti menebang kayu-kayan, rotan, damar nipah, kabung dan gaharu.

Bagi penduduk yang tinggal di tepi sungai dan laut mereka menjalankan kegiatan menangkap ikan. Hasil tangkapan menjadi bahan tukaran dengan barangan lain.

Ada juga yang menjalankan kegiatan perdagangan, secara jual-beli atau secara tukaran barangan.

Bagi pembesar-pembesar Melayu mereka menjalankan kegiatan mengutip cukai.

Bagi orang Melayu yang mempunyai kemahiran menjalankan kegiatan melombong bijih timah, perak dan emas. Terutamanya di Bruas, Manjung dan Jugra.

Kemahiran yang lain ialah melakukan kerja bertukang, sama ada tukang kayu, logam, membuat perahu atau membuat senjata. Golongan wanita pula terlibat dalam kemahiran krafttangan seperti menenun kain, songket, membuat tembikar dan sebagainya.


SOALAN 11

Apakah yang dimaksudkan dengan hubungan luar kerajaan Melayu Melaka?

Hubungan luar ialah hubungan perdagangan dan persahabatan antara negeri Melaka dengan negeri-negeri yangsetaraf seperti China, Siam, Brunei, Aru, Pasai dan sebagainya.

Hubungan luar juga wujud dengan negeri-negeri taklukan (jajahan) seperti Pahang, Kelantan dan sebagainya.

Selain itu hubungan luar juga wujud dengan negeri-negeri naungan seperti Kedah, Perak dan sebagainya.


SOALAN 12

Huraikan bentuk hubungan luar di zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan negeri-negeri yang setaraf, negeri-negeri naungan dan negeri-negeri takluknya.

Bentuk hubungan dengan negeri-negeri setaraf :

Hubungan luar dengan negara setaraf dapat ditinjau dalam hubungan perdagangan, lawatan, persahabatan, perkahwinan dan penghantaran duta.

Melaka menghantar duta ke negeri-negeri tersebut. Mereka juga menghantar utusan dengan sambutan yang meriah. Utusan surat-menyurat menggunakan istilah `salam' (menggambarkan `setaraf').

Menghantar tentera bagi membantu mengatasi masalah dalam negeri khususnya negeri-negeri di Kepulauan Melayu.

Menghantar ufti. Contohnya Melaka menghantar ufti ke Siam dan China.

Hubungan dengan negeri-negeri negeri-negeri taklukan dan naungan

Negeri taalukan seperti Pahang, Kelang, Kelantan. Negeri naungan seperti Kedah dan Perak.

Raja dan pembesar negeri taalukan dan naungan dilantik dan diiftiraf oleh pembesar Melaka.

Dasar luar dan hukuman bunuh dalam negeri taalukan dan naungan ditentukan oleh Kerajaan Melaka.

Raja dan pembesar negeri naungan dan taalukan dikehendaki mengadap Sultan Melaka.

Pembesar negeri naungan dan taalukan dikehendaki mengiringi Sultan Melaka apabila berangkat ke luar negeri.

Hubungan dua hala dilakukan, seperti memberi perlindungan apabila diserang.

Negeri naungan dan taakukan dikehendaki menghantar ufti sebagai tanda pengiftirafan terhadap Sultan Melaka. Utusan surat-menyurat dari negeri-negeri takluk/naungan menggunakan istilah `sembah'.


SOALAN 13

Jelaskan gaya hidup golongan bangsawan

Gaya hidup golongan bangsawan dapat di lihar dalam aspek berikut:

i) Mengamalkan adat istiadat dan protokol. Pertabalan raja diadakan dengan penuh istiadat. `Pembacaan ciri' iaitu melafazkan ikrar oleh Sultan dan pembesar, Bersiram tabal pada panca persada, berarak lengkap dengan iringan alat-alat kebesaran diraja.

ii) Istiadat semasa kemangkatan serta pemakaman raja atau kerabat diraja :

Seorang pengganti raja akan dilantik di hadapan jemaah sebelum al-marhum dimakamkan.

iii) Istiadat menjunjung duli. Istiadat menyembah raja oleh pembesar negeri bagi

menunjukkan kedaulatan Sultan dam taat setia mereka kepada Sultan. Istiadat ini akan diiringi dengan paluan nobat diraja di balairongseri dan bedilan meriam.

iv) Cara menyambut tetamu dan urusan rasmi. Tetamu akan disambut mengikut protokol. Peralatan sambutan yang disediakan adalah berdasarkan taraf utusan yang datang.

v) Cara berpakaian. Pakaian dan perhiasan Raja dan Raja Perempuan diperbuat daripada emas dan permata. Ketika mengadap raja, pakaian seseorang itu mestilah tertib dan sopan dengan tanjak, berpancung dan berkeris di depan.

vi) Bertutur dan penggunaan bahasa.Golongan bangsawan menggunakan `bahasa dalam', seperti santap dsbnya. Apabila berbahasa dengan Sultan, istilah `Tuanku' digunakan dan seseorang itu membahasakan dirinya `patik'.

vii) Adat resam. Adat resam golongan bangsawan termasuk adat meletak batu dan gantung-gantung untuk istiadat perkahwinan, adat melenggang perut, adat menyambut kelahiran bayi, adat bercukur, adat berjejak bumi, adat bertindik dan adat berkhatan.

ix) Kegiatan masa lapang. Mengadakan pesta pertunjukan seni, pertandingan sukan dan permainan serta pertunjukan bunga api secara besar-besaran.

x) Kesusasteraan. Golongan istana melahirkan sastera lisan yang bermutu tinggi seperti Sejarah Melayu.


SOALAN 14

Huraikan ciri-ciri sistem pendidikan masyarakat Melayu tradisional

a. Di Rumah Tok Guru.

b. Di Surau / Pondok

c. Tidak Rasmi.

Jawapan

a. Di Rumah Tok Guru

Sistem pendidikan ini diajar oleh tok guru. Bahan rujukan yang utama ialah Muqaddam dan al-Quran. Pelajarannya dari rendah hingga tertinggi.

Aspek yang dipelajari membaca dengan lancar mengikut tajwid. Selepas itu murid akan dikhatamkan. Di peringkat tinggi murid akan belajar pengertian dan tafsiran ayat Quran.

Murid-murid juga akan diajar fardu ain dan pendidikan akhlak. Ia diajar selepas waktu zohor atau maghrib. Murid-murid lelaki dan perempuan diasingkan, pakaiannya menutup aurat.

Tok guru tidak dibayar, jasanya dihargai melalui pemberian padi, makanan dan pakaian. Manakala murid-murid pula akan menjalankan kerja-kerja membantu tok guru.

b.Di Surau atau Pondok.

Pendidikan di Surau akan diajarkan kitab bahasa Arab(kitab Melayu). Kitab dipegang atau diletakan di atas lantai. Setelah dibaca, tok guru akan menjelaskan pengertiannya, ia dipanggil menadah kitab. Jikalau maknanya sukar, murid-murid akan menghafal sahaja, tiada peperiksaan.

Manakala pendidikan di pondok pula merupakan sistem pendidikan yang tertinggi sekali pada abad ke 19. Lulusan pondok akan dilantik menjadi guru di sekolah itu. Sekolah pondok banyak terdapat di Kelantan , Perak, Kedah, Seberang Prai, Melaka dan N. Sembilan. Murid-murid akan tinggal di dalam pondok secara berkongsi. Guru besarnya dipanggil mudir , mereka berasal dari Patani dan Sumatera. Matapelajaran yang diajar ialah ialah al-Quran dan Hadis,tafsir, fiqah, saraf dan nahu Arab, tauhid, akhlak, mantiq dan sejarah Islam. Pelajaran di peringkat tertinggi ialah tasawuf dan wujudiah. Pendidikan pondok hanya popular dikalangan rakyat biasa sahaja.

c. Pendidikan Tidak Rasmi

Pendidikan tidak rasmi mementingkan penguasaan sesuatu kemahiran atau kebolehan istimewa menerusi pendengaran, penglihatan, pemerhatian dan ketekunan seseorang secara tidak langsung.

Kemahiran itu diperolehi daripada ibu bapa menerusi pemerhatian dan berlatih dengan tekun dalam bidang tertentu seperti pertanian , pertukangan dan kraftangan.

Pendidikan tidak langsung juga disalurkan secara psikologi pada anak-anak. Contohnya cerita mitos dan legenda yang menberikan pengajaran kepada kanak-kanak.

Pendiikan ini juga menitikberatkan soal pantang dan larangan. Contohnya anak gadis dilarang menyanyi di dapur, takut lambat kahwin dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment