Tuesday 26 January 2010

Pembinaan Bangsa Dan Negara Malaysia Yang Berdaulat

http://5s2st.netfirms.com/sejarah5.htm

SOALAN 1

Dalam proses pembinaan bangsa dan negara, terdapat empat konsep negara , bangsa, kerajaan dan perlembagaan. Berdasarkan kenyataan itu huraikan maksud keempat-empat konsep tersebut.

Negara

Negara ialah satu wilayah yang didiami oleh sesuatu bangsa. Ia mempunyai pemerintahan yang berkesan, dan mempunyai sempadan tertentu.

Bangsa

Bangsa ialah kumpulan manusia yang menetap disesuatu kawasan, ia mempunyai kebudayaan dan sistem politik sendiri.

Kerajaan

Kerajaan ialah badan yang mentadbir sesebuah negara yang terdiri daripada Badan Perundangan,Badan Kehakiman dan Badan Pelaksana.

Perlembagaan

Perlembagaan ialah suatu peraturan yang menentukan organisasi kerajaan, pembahagian kuasa dan cara perlaksanaan kuasa tersebut.


SOALAN 2

Nyatakan dengan jelas kandungan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Kandungan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu1948 ialah:

Kedaulatan Raja Melayu dipulihkan.

Tanah Melayu dikeluarkan daripada taraf tanah jajahan.

Kerajaan British telah mengiktiraf hak istimewa orang Melayu.

Kerajaan British bertanggungjawab atau menjaga soal pertahanan dan hal ehwal luar Tanah Melayu.

Prinsip kerakyatan secara jus soli kepada bukan Melayu digugurkan.

Majlis Perundangan Persekutuan dan Majlis Kerja Persekutuan ditubuhkan di Tanah Melayu.

Di peringkat negeri diwujudkan perlembagaan negeri masing-masing.

Raja Melayu diiktiraf sebagai Ketua Negeri dalam sistem Raja Berperlembagaan.

Di setiap negeri diwujudkan jawatan Menteri Besar.


SOALAN 3

Apakah yang dimaksudkan dengan perlembagaan?

Perlembagaan ialah kumpulan peraturan atau undang-undang utama sama ada bertulis atau tidak bertulis. Ia merupakan peraturan yang menentukan bagaimana sesebuah negara ditadbir. Ia juga menentukan pembahagian kuasa antara bidang pemerintahan dan pelaksanaannya. Perlembagaan ialah undang-undang tertinggi yang menjadi rujukan pemeritahan negara. Ia merupakan sumber bagi menggubal undang-undang yang lain.


SOALAN 4

Pada pendapat anda bagaimanakah perlembagaan dapat mewujudkan keadilan sosial di Malaysia?

Perlembagaan dapat mewujudkan keadilan sosial di Malaysia melalui pengurangan jurang perbezaan ekonomi dan struktur antara wilayah.

Perlembagaan dapat mewujudkan keadilan sosial apabila ia dapat mewujudkan pengagihan yang saksama dari segi pembangunan negara keseluruhannya.

Perlembagaan dapat mewujudkan keadilan sosial apabila dapat menjamin kebebasan asasi manusia berdasarkan hak yang ditentukan meliputi kebebasan diri, bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan, beragama, bebas daripada menjadi hamba abdi dan melakukan kerja paksa, perlindungan daripada undang-undang jenayah yang berkuatkuasa kebelakang dan perbicaraan yang berulang, hak terhadap harta dan hak mengenai pelajaran.

Perlembagaan dapat mewujudkan keadilan sosial apabila ia dapat menentukan pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Peruntukan kuasa itu yang meliputi perkara untuk kepentingan bersama.


SOALAN 5

Sejauh manakah konsep keluhuran perlembagaan dilaksanakan di Malaysia?

Konsep keluhuran perlembagaan dapat dilaksanakan di Malaysia apabila semua undang-undang yang diluluskan mestilah tidak bercanggah dengan perlembagaan.

Konsep keluhuran perlembagaan dapat dilaksanakan juga apabila undang-undang atau enakmen negeri mesti selaras dengan perlembagaan.

Konsep keluhuran perlembagaan dapat dilakasanakan apabila Badan Kehakiman dipertanggungjawabkan menjaga peruntukkan perlembagaan tidak dicabar.

Konsep keluhuran perlembagaan dapat dilaksanakan apabila perlembagaan menentukan kedudukan Yang Dipertuan Agong, Parlimen, Jemaah Menteri dan Mahkamah.

Konsep keluhuran perlembagaan dapat dilaksanakan apabila kedudukan perlembagaan adalah lebih tinggi dan mengatasi kekuasaan Yang Dipertuan Agong, Parlimen, Jemaah Menteri dan Mahkamah.

Konsep keluhuran perlembagaan dapat dilaksanakan apabila perlembagaan mengandungi perkara-perkara yang tidak boleh dipersoalkan, seperti agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan bahasa Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu tidak boleh dicabar oleh bukan Melayu.


SOALAN 6

Apakah kepentingan perlembagaan kepada negara kita?

Kepentingan perlembagaan kepada negara kita ialah untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik.

Kepentingan perlembagaan juga dapat menentukan rangka, bentuk pemerintahan dan kuasa untuk menerajui kerajaan, menjamin pentadbiran yang cekap, jujur dan adil.

Kepentingan perlembagaan seterusnya dapat menjamin keselamatan dan keamanan rakyat. Perlembagaan dapat menggariskan kebebasan dan hak asasi warganegara seperti kebebasan diri,kebebasan bercakap, memiliki harta dan beragama.

Kepentingan perlembagaan apabila ia dapat menentukan batasan untuk menjaga keselamatan, kemakmuran rakyat dan memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar.

Kepentingan perlembagaan juga dapat memupuk unsur taat setia kepada negara. Seseorang itu akan dilucutkan kerakyatannya jika kerajaan Malaysia mendapati dia tidak setia atau telah memperolehi kerakyatan negara lain.

Kepentingan perlembagaan juga apabila dapat memastikan wujudnya keadilan sosial antara kaum, hak kebebasan asasi manusia dihadkan bagi mengelakkan berlakunya persengketaan dan pergaduhan antara kaum. Parlimen telah meluluskan pindaan Akta Hasutan (1970), yang menghadkan kebebasan bercakap bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Kepentingan perlembagaan juga supaya hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak boleh dipersoalkan sebagaimana yang dipersetujui dalam Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia.

Perlembagaan juga penting untuk mewujudkan integrasi nasional bagi mempercepatkan lagi proses pembentukan negara dan bangsa yang bersatu dan berdaulat.

Perlembagaan juga menjadi penting sebagai panduan pemerintahan kerajaan negeri.


SOALAN 7

Andaikan diri anda hidup pada zaman itu, mengapakah anda menyokong Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Saya menyokong Perlembagaan PTM kerana ia dihasilkan melalui rundingan dan penglibatan pemimpin-pemimpin tempatan.

Saya juga menyokong Perlembagaan PTM kerana Perlembagaan PTM berjaya menjamin hak-hak istimewa orang-orang Melayu.

Selain itu Perlembagaan PTM telah menjamin kuasa dan kedudukan Sultan dikembalikan seperti sediakala. Kemuliaan Sultan tidak terjejas.

Saya menyokong Perlembagan PTM kerana ia berjaya mempertahankan hak pertuanan dan kuasa politik orang-orang Melayu.

Saya menyokong Perlembagaan PTM kerana kerakyatan Jus Soli telah diperketatkan. Antara syarat itu ialah penduduk bukan Melayu mesti tinggal di PTM tidak kurang daripada 10 tahun. Kedua-dua ibubapanya adalah warganegara PTM. Mereka hendaklah mengaku taat setia terhadap Tanah Melayu dan menganggap negara ini sebagai tanah tempat tumpah darahnya.

Mereka juga mestilah boleh bertutur sama ada dalam bahasa Inggeris ataupun bahasa Melayu.


SOALAN 8

Apakah tujuan pihak British menganjurkan Pilihanraya Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor dan Johor Baharu?

Tujuan British mengadakan ketiga-tiga pilihanraya di atas ialah sebagai strategi memenagi fikiran rakyat untuk memerangi komunis di Tanah Melayu.

Tujuan pilihanraya itu juga untuk menggalakkan perkembangan parti-parti politik berhaluan kanan untuk melawan ancaman Parti Komunis Malaya.

Selain itu pilihanraya itu dapat memastikan proses peralihan kuasa dapat dilakukan melalui saluran perlembagaan secara beransur-ansur.

Pilihanraya itu dapat mendedahkan penduduk tempatan kepada proses pemerintahan demokrasi, seperti pembuangan undi, pilihanraya dan lain-lain.


SOALAN 9

Apakah perkara-perkara yang ingin diperjuangkan oleh ahli-ahli 41 buah Persatuan Melayu pada tahun 1946 di Kelab Sultan Sulaiman.

Perkara-perkara yang ingin diperjuangkan ialah untuk mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Perkara yang kedua ialah untuk melindungi hak-hak istimewa orang-orang Melayu.

Perkara yang ketiga ialah untuk memansuhkan Perlembagaan Malayan Union yang memberi kesan buruk ke atas masa depan politik orang-orang Melayu.

Perkara yang keempat ialah untuk menubuhkan satu pertubuhan kebangsaan Melayu yang dapat menyatupadukan orang-orang Melayu menentang Malayan Union. Pertubuhan itu ialah UMNO.

Perkara yang terakhir ialah untuk menghalang pemberian kerakyatan "jus soli" kepada orang-orang bukan Melayu.


SOALAN 10

Apakah tindakan-tindakan yang sewajarnya diambil oleh raja-raja Melayu berdasarkan resolusi perjumpaan di atas ?

Tindakan raja-raja Melayu ialah memulaukan upacara perlantikan Gobenor Malayan Union, iaitu Sir Edward Gent.

Raja-raja Melayu juga menghantar nota bantahan kepada Parlimen British mengenai bangkangan ke atas Malayan Union.

Tindakan Raja-raja Melayu pada waktu itu juga ialah berdiri teguh di belakang perjumpaan orang-orang Melayu menentang Malayan Union.

Raja-raja Melayu juga menyokong segala ketetapan perjuangan UMNO untuk melindungi kemuliaan raja-raja Melayu.


SOALAN 11

Bincangkan sumbangan-sumbangan Dato Onn Bin Jaafar dalam perkembangan politik di Tanah Melayu?

Sumbangan -sumbangan Dato Onn ialah menyatukan orang-orang Melayu dari seluruh negara di bawah PEKEMBAR. Dato Onn juga menjadi wakil orang-orang Melayu bersemuka dengan Sultan untuk menggagalkan Malayan Union.

Dato Onn telah memimpin orang-orang Melayu berjuang menentang Malayan Union dan akhirnya berjaya memansuhkan rancangan tersebut.

Dato Onn telah berjaya menubuhkan UMNO pada 11.5.1946.

Dato Onn telah mengutarakan perjuangan politik bukan perkauman. Di mana beliau ingin membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu, iaitu dari United Malay National Organisation kepada United Malayan National Organisation.

Dato Onn juga telah menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya(IMP) pada tahun 1951.

Dato Onn juga telah menubuhkan Parti Negara pada tahun 1954.


SOALAN 12

Menjelang tahun 1950an, Dato Onn telah menyarankan suatu gagasan politik yang dianggap radikal, iaitu membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu.

Andaikan diri anda hidup pada waktu itu, apakah reaksi anda berhubung dengan gagasan politik di atas ?

Reaksi saya berhubung gagasan politik itu ialah kurang senang. Saya juga sangat bimbang.

Saya juga sangat bimbang dan tidak bersetuju dengan cadangan dato Onn. Dengan itu saya akan menolak dengan keras gagasan tersebut.


SOALAN 13

Mengapakah orang-orang Melayu pada waktu itu menolak gagasan politik yang membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu?

Orang-orang Melayu menolak gagasan itu kerana orang-orang Melayu masih ketinggalan dari segi ekonomi berbanding dengan kaum-kaum lain.

Orang Melayu juga takut kepimpinan UMNO akan jatuh ke tangan orang-orang bukan Melayu.

Orang Melayu takut kehilangan kuasa politik Tanah Melayu kepada orang-orang bukan Melayu.

Penolakan itu juga kerana gagasan Dato' Onn bin Jaafar bercanggah dengan perlembagaan UMNO.

Orang Melayu juga tidak mahu kehilangan hak pertuanan Melayu di tanah airnya sendiri.

Orang Melayu bimbang hak tuju perjuangan UMNO bercanggah dengan perlembagaan parti khususnya dalam hal-hal mempertahankan kedaulatan raja dan agama Islam.


SOALAN 14

Berdasarkan keputusan pilihanraya 1955, Parti Perikatan memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Apakah perkara yang menjadi impian rakyat Tanah Melayu pada waktu itu ?

Perkara yang menjadi impian rakyat Tanah Melayu setelah Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandngkan ialah kemerdekaan Tanah Melayu hendaklah diperolehi dengan saluran perlembagaan.

Selain itu kemerdekaan Tanah Melayu juga hendaklah diperolehi dalam masa dua tahun selepas pilihanraya tersebut.

Impian penduduk juga ialah tidak mahu lagi duduk lagi di bawah pemerintahan penjajah British.

Penduduk Tanah Melayu juga mengharapkan supaya diadakan pertemuan dengan Parti Komunis Malaya agar ancaman komunis ditamatkan dengan segera.


SOALAN 15

Pada pendapat anda apakah perkara-perkara yang harus dilakukan oleh Parti Perikatan selepas memenangi pilihanraya 1955?

Pada pendapat saya Parti Perikatan hendaklah membuat persediaan untuk bersemuka dengan PKM untuk menamatkan ancaman Komunis.

Saya juga berpendapat Parti Perikatan hendaklah menetapkan tarikh, tempat dan surat jemputan kepada pemimpin-pemimpin PKM untuk hadir berunding di Baling, Kedah.

Setelah memenangi pilihanraya itu Parti Perikatan hendaklah memilih anggota-anggota rombongan kemerdekaan di kalangan ahli parti politik dan wakil raja-raja Melayu.

Apa yang lebih penting lagi ialah mengadakan rundingan dengan British bagi mempercepatkan proses penyerahan kuasa politik secara aman atau kemerdekaan.


SOALAN 16

Rundingan Baling (1955) telah menemui jalan buntu. Mengapakah rundingan tersebut gagal memujuk PKM meletakkan senjata ?

Rundingan Baling menemui jalan buntu kerana keengganan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menghalalkan PKM sebagai pertubuhan politik yang sah.

Selain itu Kerajaaan Perikatan juga enggan menggugurkan istilah "menyerah diri" kepada pengganas komunis yang meletakkan senjata.

Kegagalan rundingan tersebut juga disebabkan kekurangan persefahaman dan tolakansur antara pemimpin-pemimpin yang menghadiri pertemuan tersebut.


SOALAN 17

Apakah tugas-tugas Suruhanjaya Pilihanraya ?

Tugas-tugas Suruhanjaya Pilihanraya ialah menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihanraya.

SPR juga berperanan mengistiharkan kekosongan sesuatu kerusi kawasan pilihanraya berikutan kematian atau perletakan jawatan.

Selain itu SPR juga menjalankan tugas mengeluarkan daftar pengundi dan menyediakan perkhidmatan untuk pengundi membuat semakan.

Tugas SPR yang lain ialah mendaftarkan nama pengundi-pengundi baru.

Tugas SPR yang seterusnya ialah mengistiharkan keputusan pilihanraya.

Tugas SPR yang terakhir ialah mengubah kawasan atau sempadan pilihanraya.


SOALAN 18

Apakah syarat-syarat yang melayakkan seseorang rakyat negara ini menjadi pengundi

berdaftar ?

Syarat-syarat untuk menjadi pengundi berdaftar ialah:

- Warganegara Malaysia atau Pemilik kad pengenalan biru.

- Berusia 21 tahun dan ke atas.

- Berfikiran waras.


SOALAN 19

Apakah syarat-syarat yang membolehkan seseorang itu keluar mengundi?

Syarat untuk keluar mengundi ialah:

- Namanya didaftarkan dalam daftar pemilih.

- Berfikiran waras.

- Membawa kad pengenalan.

- Keluar mengundi.


SOALAN 20

Pegawai-pegawai kerajaan Kumpulan A adalah dilarang memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik. Mengapakah larangan tersebut dikenakan ?

Larangan itu untuk memastikan pegawai-pegawai kerajaan menjalankan tugas dengan sepenuh hati.

Larangan itu bertujuan membebaskan pegawai kerajaan daripada membuat sebarang sentimen politik. Ini dapat mengelakkan salah anggap di kalangan masyarakat.

Larangan itu juga dapat mengelakkan pegawai-pegawai kerajaan menggunakan kemudahan dan harta benda kerajaan untuk kepentingan parti politik yang dianggotainya.

No comments:

Post a Comment