Thursday 28 January 2010

Pertikai kuasa raja tidak hormati perlembagaan

Wednesday, 07 May 2008 06:24am

Utusan Malaysia

APA niat Pengerusi DAP, Karpal Singh mempertikaikan keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah secara terbuka?

Adakah pembangkang kini mabuk kuasa ekoran pencapaian luar biasa mereka pada pilihan raya umum lalu, atau sekadar mahu memperlekehkan institusi kesultanan di negara ini.

Sedangkan keputusan Sultan Azlan Shah berhubung Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Jamry Sury langsung tidak ada kena-mengena dengan Karpal atau DAP.

Jika Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar sudah pun meminta maaf, kenapa Karpal perlu lebih-lebih? Kenapa Karpal mahu mencampuri urusan orang Islam di Perak?

Ibarat lebih sudu dari kuah, Karpal dengan biadap mempertikaikan keputusan itu seolah-olah cuba mencabar sultan dan orang Melayu di negara ini.

Seperti kata Karpal, memang benar rakyat negara ini tidak lagi hidup di zaman feudal. Tetapi orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk Malaysia masih lagi menyanjungi sultan dan raja mereka.

Malah sultan dan raja di negara ini masih mempunyai hak dan kuasa terutama dalam hal yang berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam.

Lagi pula, raja-raja Melayu ialah lambang Ketua Agama Persekutuan dan juga kepada negeri-negeri Melayu yang lain.

Jadi dalam apa juga urusan kenegaraan tidak boleh dipisahkan antara institusi raja dengan Perlembagaan negara kerana ia berkait rapat.

Tidak mungkin seorang peguam terkenal seperti Karpal tidak faham bahawa segala urusan berkaitan dengan Melayu dan Islam terletak di bawah kuasa raja-raja.

Lebih-lebih lagi urusan yang berkaitan dengan pengarah Jabatan Agama Islam dan mufti memang terletak di bawah kuasa sultan. Berbeza dengan jawatan di jabatan lain, dua jawatan itu sangat rapat dengan sultan.

Oleh itu, apa yang dilakukan istana Perak selari dengan peruntukan Perlembagaan. Jadi ia tidak perlu dipertikaikan terutama oleh pemimpin DAP seperti Karpal.

Tindakan Karpal campur tangan dalam urusan agama Islam tentu mempunyai maksud tertentu.

Kenyataan Karpal itu juga seolah-olah menggambarkan Menteri Besar Perak dari Pas itu sekadar boneka sahaja.

Sebab itu Pengerusi DAP itu berani berkata bahawa kerajaan negeri tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan istana.

Jika kerajaan negeri tidak perlu mendengar apa juga nasihat daripada istana, apa fungsinya kedudukan sultan dan institusi raja?

Yang nyata, tindakan Karpal menegur keputusan Sultan Perak secara terbuka tidak dialu-alukan oleh orang Melayu di negara ini.

Apa yang ditegur dan disentuh oleh Sultan Perak semata-mata berkaitan dengan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

Ia langsung tidak menyentuh kepentingan dan sensitiviti kaum lain. Jadi, Karpal tidak perlu celupar dengan raja-raja Melayu. Atau Karpal sengaja mahu mencetuskan ketegangan kaum dengan membangkitkan kemarahan orang Melayu.

No comments:

Post a Comment