Tuesday, 26 January 2010

Persekutuan Tanah Melayu 1948

Pengenalan

Sejak rancangan Malayan Union dicadangkan, seterusnya diumumkan dalam satu kertas putih pada akhir Januari 1946, pelbagai pihak terutamanya orang-orang Melayu telah bangkit menentang dengan kuatnya skim baru itu, anggota-anggota perkhidmatan awam Inggeris yang telah bersara dan pemimpin-pemimpin Melayu turut berganding bahu menentang rancangan union tersebut[1] kerana syor-syornya yang jelas dilihat bakal memberikan kesan buruk kepada institusi pemerintahan beraja serta nasib masyarakat Melayu itu sendiri. Orang-orang Melayu mula sedar akan kerugian dan bencana yang akan mereka terima jika Malayan Union dilaksanakan.[2] Malah, rancangan tersebut juga turut mendapat kritikan daripada orang-orang Cina dan India.

Usaha penentangan dilakukan dalam pelbagai cara termasuklah tindakan memulaukan majlis-majlis berkaitan Malayan Union serta tindakan berkabung oleh orang-orang Melayu. Justeru itu, pada bulan Julai 1946, suatu jawatankuasa kerja telah dilantik yang terdiri daripada wakil-wakil Umno, wakil-wakil Raja-raja negeri Melayu dan wakil –wakil Kerajaan Inggeris untuk merangka suatu perlembagan yang baru bagi menggantikan Malayan Union.[3] Hasilnya, perlembagaan Malayan Union yang diperkenalkan pada 1 April 1946 itu terpaksa dimansuhkan oleh Kerajaan Inggeris pada 31 Januari 1948[4] dan digantikan dengan Perlembagaan baru iaitu Perlembagaan Pesekutuan Tanah Melayu 1948.

Halangan dan Tentangan

Umumnya, di samping usaha dan rundingan yang dijalankan bagi melaksanakan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948, terdapat juga beberapa halangan dalam mencapai matlamat tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui penentangan terhadap rancangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang kelihatan sejak awal lagi dengan kewujudan pihak yang tidak bersetuju terhadap rancangan tersebut. Mereka terdiri daripada sesetengah pihak terutamanya mereka yang bukan berketurunan Melayu seperti orang Cina.[5]

Selain itu, di kalangan orang Melayu juga wujud PKMM atau Parti Kebangsaan Melayu Malaya[6] yang secara jelas dipengaruhi PKM atau Parti Komunis Malaya yang menentang rancangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Bagi bukan Melayu, hasil daripada rasa tidak setuju ini telah direalisasikan dengan penubuhan AMCJA atau All Malaya Council of Joint Action[7] setelah Kesatuan Cina Melaka yang ditubuhkan oleh Tan Cheng Lock tidak begitu berpengaruh dalam politik sebelumnya.

Pada peringkat awal, badan ini turut disertai oleh badan-badan Melayu yang tidak bersetuju dengan rancangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu tetapi telah keluar dari AMCJA. Pada Januari 1947, badan-badan pertubuhan Melayu yang telah keluar dari AMCJA termasuklah PKMM telah bergabung menubuhkan PUTERA atau “Pusat Tenaga Rakyat”. Kedua-dua badan politik ini akhirnya telah bergabung dalam menentang Perjanjian Persekutuan yang dilakukan dalam pelbagai sudut termasuklah usaha membangkitkan perasaan orang ramai.[8]

Walaupun pelbagai penentangan dilakukan, Persediaan untuk meggubal Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu rancak dijalankan oleh jawatankuasa yang dianggotai 12 orang wakil Raja-raja, UMNO dan pegawai-pegawai British[9] dan akhirnya Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah berjaya ditubuhkan bagi menggantikan Malayan Union dan merupakan satu kejayaan hebat yang disambut oleh pelbagai etnik. Namun kejayaan ini turut diratapi oleh sesetengah pihak seperti AMCJA, PUTERA dan sebagainya terutamanya orang-orang Cina yang berasa telah tertipu kerana merasakan mereka lebih setia kepada British semasa perang.[10]

Isi Kandungan Perlembagaan 1948

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 memperlihatkan beberapa ciri yang berbeza daripada Malayan Union . Antaranya ialah kuasa memerintah Persekutuan Tanah Melayu terletak pada tangan Pesuruhjaya Tinggi Inggeris[11] dan beliau akan dibantu oleh Majlis Kerja Kerajaan (Executive Council)[12] yang mengandungi ahli-ahli rasmi dan ahli-ahli tidak rasmi yang dilantik sendiri oleh Pesuruhjaya Tinggi.[13] Persekutuan Tanah Melayu juga akan mempunyai Majlis Undangan yang dipengerusikan oleh pesuruhjaya Tinggi dan mempunyai 75 orang ahli iaitu 14 ahli rasmi, 9 Menteri Besar dari Negeri-negeri Melayu, 2 wakil dari Majlis-majlis mesyuarat negeri Pulau Pinang dan Melaka serta 50 orang ahli tidak rasmi yang mewakili kaum-kaum yang terdapat di Persekutuan Tanah Melayu serta mewakili kepentingan-kepentingan perniagaan, buruh dan perusahaan lombong dan getah.

Secara umumnya, ahli-ahli yang tidak rasmi pada peringkat permulaan ini adalah dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi dan boleh dipilih orang ramai apabila tiba masanya.[14] Hal ini mempunyai kesinambungan hingga kini kerana ahli-ahli Majlis Perundangan Persekutuan adalah dipilih melalui pilihanraya, cuma berbezanya semua ahli yang dipilih merupakan ahli rasmi dan tidak mempunyai ahli tidak rasmi. Perkiraan ahli dari segi kaum menunjukkan orang Melayu terdiri daripada 31 orang, 14 orang Cina, 7 orang Eropah, 5 orang India, dan masing-masing seorang Ceylon dan Serani.[15] Berkaitan bidang kuasa, kerajaan persekutuan bertanggungjawab dalam hal-hal pertahanan, perdagangan, perhubungan, kewangan serta lain-lain yang mempunyai kepentingan bersama.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari !948 juga telah mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu. [16] Raja-raja Melayu telah diberikan semula hak-hak utama, kuasa dan bidang kuasa ke atas negeri mereka masing-masing seperti sebelum perang. Namun dari segi kesannya, kuasa raja-raja Melayu hampir sama dengan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu kerana kuasa pentadbiran lebih banyak dipegang oleh Majlis Mesyuarat Negeri serta Majlis Undangan Negeri.

Sebuah Majlis Raja-raja telah dibentuk yang bertujuan membolehkan raja-raja Melayu berbincang dengan Pesuruhjaya Tinggi berkaitan hal-hal Imigreren yang diadakan sekurang-kurangnya tiga kali setahun.[17] Berkaitan Imigresen juga, seseorang warganegara persekutuan Tanah Melayu tidak lagi memerlukan sebarang dokumen jika mahu masuk ke sesuatu negeri yang lain dari negeri kelahirannya. Kesinambungan daripada aspek ini juga dapat dikaitkan dengan penyatuan semua negeri-negeri di bawah satu unit persekutuan. Dalam hal ini, Persekutuan Tanah Melayu mengandungi sembilan buah negeri-negeri Melayu dan Pulau pinang serta Melaka. Singapura pula kekal sebagai koloni yang berasingan.[18]

Bagi peringkat Negeri pula, Sultan mempunyai kuasa memerintah dengan bantuan sebuah Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan dan sebuah Dewan Perundangan Negeri. Sultan ataupun Raja-raja bagi setiap negeri bertanggungjawab dalam mengesahkan sebarang rang unang-undang yang diluluskan dalam Dewan Perundangan Negeri. Malah juga boleh meluluskan rang undang-undang yang tidak berjaya diluluskan di Dewan Perundangan Negeri.seterusnya, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa ke atas Kerajaan Tempatan mereka sendiri, agama, pelajaran, pertanian dan tanah.[19]

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 juga meletakkan suatu lagi isu penting yang menjadi asas utama dalam penentangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union iaitu Hal Kewarganegaraan. Raja-raja Melayu telah bersetuju memberikan taraf kewarganegaraan Persekutuan Tanah Melayu kepada 300, 000 orang bukan Melayu yang layak.[20] Ianya juga berpunca daripada fasal-fasal kewarganegaraan yang terbahagi kepada dua iaitu mereka yang memperoleh kewarganegaraan melalui kuatkuasa undang-undang dan mereka yang layak untuk meminta menjadi warganegara dengan cara kemasukan atau permintaan.

Mereka yang menjadi warganegara melalui kuatkuasa undang-undang terdiri daripada penduduk asal dari negeri-negeri Melayu sama ada lahir sebelum, semasa, atau selepas tarikh yang ditetapkan seperti kandungan fasal 124 (1) (a) Perjanjian Persekutuan tanah Melayu iaitu “Mana-mana rakyat Yang Maha Mulia Raja-raja[21] bagi mana-mana Negeri Melayu sama ada yang diperanakkan dahulu,atau pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan;”[22]. Selain itu, warganegara British yang tinggal secara tetap[23] dalam negeri-negeri yang terkandung dalam Persekutuan Tanah Melayu sama ada sebelum, semasa atau selepas hari persekutuan juga merupakan warganegara secara kuatkuasa undang-undang. Hal ini berdasarkan kandungan fasal 124 (1) (b) dan fasal 124 (1) (c) Perjanjian Persekutuan tanah Melayu iaitu “mana-mana Rakyat British yang dilahirkan dalam salah satu dari Negeri Selat sama ada dahulu,pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan itu yang tinggal tetap dalam mana-mana negeri yang terkandung dalam persekutuan”. Seterusnya, “mana-mana Rakyat British yang telah diperanakkan dahulu, pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan dalam mana-mana negeri yang terkandung dalam persekutuan jika bapanya diperanakkan di mana-mana negeri yang sekarang ini terkandung dalam persekutuan atau jika pada hari diperanakkan itu, bapanya telah tinggal tetap dalam negeri tersebut.”.[24] Syarat ini meletakkan seseorang itu perlu mempunyai bapa yang tinggal secara tetap dalam persekutuan bagi meletakkannya sebagai warganegara secara kuatkuasa undang-undang. Seseorang warganegara British juga boleh menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu secara kuatkuasa undang-undang jika lahir dalam mana-mana Negeri yang terkandung dalam Persekutuan Tanah Melayu serta bertutur dalam bahasa melayu dan mengamalkan adat resam Melayu.[25]

Sementara itu, dalam Fasal 25 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, mereka yang layak untuk memohon menjadi warganegara ialah mereka yang dilahirkan dalam Persekutuan Tanah Melayu dan telah bermastautin secara tetap selama tidak kurang tempoh 8 tahun daripada tempoh 12 tahun berada di Persekutuan Tanah Melayu. Seseorang itu juga boleh memohon untuk menjadi warganegara jika telah tinggal dalam mana-mana negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu dengan bermastautin selama 15 tahun daripada tempoh 20 tahun yang dikira serta merta dari hari permohonannya. Selain daripada salah satu tempoh tersebut, seseorang itu juga perlu mempunyai syarat-syarat lain iaitu bertingkahlaku baik, pengetahun yang cukup dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, telah membuat pengakuan tinggal tetap dan jika permintaannya diluluskan, seseorang itu hendaklah bersedia untuk mengangkat sumpah kerakyatan.[26]

Kesan-kesan

Bermulanya Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah mengembalikan semula status quo politik Raja-raja Melayu, negeri-negeri Melayu dan pengiktirafan kepada orang Melayu sebagai peribumi.[27] Hal ini kerana, semasa Malayan Union dibentuk, kuasa Sultan hanya terbatas kepada soal agama sahaja dengan menjadi presiden majlis di negeri masing-masing. Namun, dengan perlembagaan baru ini, kedaulatan Raja-raja Melayu telah dikembalikan.[28] Disamping itu, hal yang berkaitan kewarganegaraan telah kembali meletakkan kaum Melayu dalam keadaan selesa kerana peraturan-peraturan yang kembali diketatkan. Malah, orang-orang Melayu berasa kedudukan mereka sebagai bumiputera telah diselamatkan dan hal ini dapat dilihat misalnya pelbagai sambutan meriah yang diadakan sebagai tanda kemenangan dalam mengembalikan hak mereka.

Gerakan menuntut kemerdekaan itu bolehlah dikatakan bermula dengan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948.[29] Hal ini dapat dilihat kerana Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 adalah dipinda serta diubah pada tahun 1951, 1953 dan tahun-tahun berikutnya yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan.[30] Walaupun gerakan nasionalisme telah lama bermula,[31] namun usaha secara diplomasi lebih berjaya dalam mencapai kemerdekaan dan cara ini telah kelihatan di beberapa negara lain seperti di India melalui gerakan yang dipimpin oleh Gandhi. Justeru itu, Pembentukan persekutuan hasil gabungan negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu, dan Negeri-negeri Selat[32] serta tolak ansur dalam menghasilkan syarat-syarat Perjanjian Persekutuan merupakan langkah diplomasi dalam menuntut kemerdekaan.

Mukadimah di sebalik perjanjian persekutuan Tanah Melayu 1948 telah melahirkan keinginan Kerajaan United Kingdom dan Raja-raja Melayu untuk mengarah kepada pembentukan “Kerajaan Sendiri”.[33] Tujuan ini dapat dilihat malalui ucapan MacDonald ketika membuat pengumuman mengenai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menegaskan bahawa matlamat akhir Kerajaan British ialah memberi taraf berkerajaan sendiri kepada negara ini.[34] Namun, di sebalik kenyataan ini, British pada asasnya meletakkan kepentingan ekonominya sebagai sangat mustahak dan disebabkan itu, huru-hara politik mestilah dielakkan dari tercetus di Persekutuan ini dan kerjasama politik dari semua bangsa penting dalam menjamin kestabilan politik.[35] Suatu aspek yang dapat dilihat di sini ialah tujuan untuk berkerajaan sendiri itu adalah bagi menggalakkan kerjasama serta tolak ansur semua pihak, dan hal ini merupakan satu kepentingan ekonomi bagi British kerana politik yang stabil akan menggalakkan ekonomi.

Di sebalik kejayaan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948, telah terjadi pula kesan serta-merta iaitu tindakan Parti Komunis Malaya yang cuba merebut kuasa dan mahu menggulingkan kerajaan[36] dengan menjalankan dasar melumpuhkan ekonomi [37] dan pemberontakan ini bermula pada 18 Jun 1948.[38] Hal ini telah membawa kepada pengisytiharan darurat serta pengenalan Rancangan Bringgs.

kesimpulan

Secara keseluruhannya, pembentukan perlembagaan Persekutuan 1948 merupakan desakan dan tentangan yang diketuai oleh UMNO yang menentang Malayan Union. Namun, walaupun UMNO dilihat sebagai tunjang yang menentang Malayan Union, parti-parti yang lain turut menentangnya seperti PKMM dan sebagainya. Apa yang jelas, idea British yang mahu mewujudkan negara kesatuan yang mempunyai status bangsa baru yang sama dalam unit politik Malaya terpaksa berkubur dengan penentangan yang menyeluruh terutama dari penduduk Tanah Melayu. Kesan daripada inilah, Pesekutuan Tanah Melayu diperkenalkan yang sedikit sebanyak membela kepentingan masyarakat pribumi. Ringkasnya, melalui pesekutuan Tanah Melayu 1948 juga telah membuka jalan juga kepada Perlembagaan Tanah Melayu 1957 sekaligus membawa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang menjadi penamat penguasaan kolonial British.

Bibliografi

Abdullah Bin Ayub, Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957-1963, Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978

Barbara Watson Andaya & Leonald Y. Andaya, A History Of Malaysia, London; The

Macmillan press Ltd,1982.

Barbara Watson Andaya & Leonold Y. Andaya, (Terj.) Sejarah Malaysia, Kuala

Lumpur: Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd,1983.

Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu,Kuala Lumpur: Pustaka

Antara,1981.

Khong Kim Hoong, British Rule The Struggle Indenpendence Malaya 1945-

1957,Petaling Jaya: Strategic Information Research Development 2003, 1984

Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, Kuala Lumpur: Utusan

Publication & distributors Sdn Bhd,1994.

Mohd Salleh Abas,Prinsip Perlembagaan & Pemerintahan di Malaysia, Kuala

Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,1997.

Puteh Mohamed & Malik Munip, The Development of National Education System dalam

Malaysia In History, Kuala Lumpur: Malayan Historical Society,1985.

Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Universiti

Malaya, 1998.

Shamsul Amri Baharudin,Masyarakat Malaysia & Alam Sosialnya, Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa Pustaka, 1993.

Zakiah Hanum Hj. Abdul Hamid, et.al, Hari Ini Dalam Sejarah,Jilid II, Kuala Lumpur:

Arkib Negara Malaysia, 1981.

Zakiah Hanum Hj. Abdul Hamid, Tercabarnya Maruah Bangsa,Kuala Lumpur:

Penerbitan Lajmeidah Sdn.Bhd.,1987.

Zuraina Majid, Masyarakat Malaysia,Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia,1982.



[1] Barbara Watson Andaya & Leonold Y. Andaya, (Terj.) Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd,1983, hlm. 297-298.

[2] Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd,1994, hlm. 86-87.

[3]Abdullah Bin Ayub, Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957-1963, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, hlm. 29

[4] Ibid.

[5] Namun, dalam sudut yang lebih mendalam, penentangan dapat dilihat daripada beberapa bahagian iaitu penentangan daripada golongan radikal, penentangan daripada golongan konservatif Cina, penentangan daripada kaum minoriti serta penentangan keras yang merujuk kepada gabungan AMCJA dan PUTERA,Untuk keterangan lanjut lihat Khong Kim Hoong, British Rule The Struggle Indenpendence Malaya 1945-1957,Petaling Jaya: Strategic Information Research Development 2003, 1984, 149-172

[6]Zakiah Hanum, Tercabarnya Maruah Bangsa,Kuala Lumpur: Penerbitan Lajmeidah Sdn.Bhd.,1987, hlm. 17.

[7] AMCJA atau dalam bahasa Melayu disebut “Majlis Bergerak Serentak Se Tanah Melayu” ditubuhkan di Singapura pada 7 Dicember 1946 yang terdiri daripada beberapa gabungan pertubuhan bukan keturunan Melayu yang diketuai oleh Tan Cheng Lock. Untuk keterangan lanjut, lihat Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, hlm. 180.

[8] Ibid.

[9] Ibid.

[10] Barbara Watson Andaya & Leonald Y. Andaya, A History Of Malaysia, London; The Macmillan press Ltd,1982, hlm. 257.

[11] Jawatan Pesuruhjaya Tinggi Inggeris dipegang oleh Sir Edward Gent yang sebelum itu merupakan gabenor Malayan Union.

[12] Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan terdiri daripada tujuh orang ahli rasmi termasuk tiga orang ex-efficio dan tujuh orang ahli tidak rasmi.

[13] Abdullah Bin Ayub, Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957-1963.hlm 80, Lihat juga Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, hlm. 89.

[14] Ibid.

[15] Ibid., Lihat juga Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, hlm. 89.

[16] Zakiah Hanum Hj. Abdul Hamid, et.al, Hari Ini Dalam Sejarah,Jilid II, Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 1981, hlm 6.Lihat juga Puteh Mohamed & Malik Munip, The Development of National Education System dalam Malaysia In History, Kuala Lumpur: Malayan Historical Society,1985, hlm 87.

[17] Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, hlm 90.

[18] Ibid, hlm 88. Lihat juga Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1998, hlm 255.Lihat juga Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu,Kuala Lumpur: Pustaka Antara,1981, hlm 178.

[19] Ibid, hlm 89.

[20] Cheah Boon Kheng,,Evolusi Sebuah Persekutuan,1978 dalam Zuraina Majid, Masyarakat Malaysia,Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, hlm. 8.

[21] Rakyat Yang Maha Mulia Raja-raja bermaksud mereka yang merupakan kaum asli negeri tersebut, atau mempunyai bapa yang merupakan penduduk asli negeri itu dan juga mereka yang telah menjadi “Naturalised” melalui mana-mana undang-undang yang dikuatkuasakan. Naturalised ialah mereka yang telah serasi, memahami adat resam dan bertutur dalam bahasa setempat. Rujuk Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, hlm 215.

[22] Ibid.

[23] Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu ,hlm. 178

[24] Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, hlm. 215

[25] Ibid.

[26] Ibid, hlm 217. Lihat juga Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, hlm 90.

[27] Ibid. hlm 255.

[28] Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, hlm 91.

[29] Ibid, Hlm 255.

[30] Abdullah Bin Ayub, Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957-1963, hlm 31. Lihat juga Shamsul Amri Baharudin,Masyarakat Malaysia & Alam Sosialnya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka, 1993, hlm 110.

[31] Gerakan menentang penjajah seperti pimpinan Tok Janggut, dan lain-lain merupaka langkah yang diambil untuk menghalau penjajah dan mempunyai satu tujuan yang nyata iaitu mendapat kebebasan.

[32] Abdullah Bin Ayub, Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957-1963, hlm 31.

[33]Mansoor Marican, Federelisme: Sistem Kerajaan Malaysia, dalam Zuraina Majid, Masyarakat Malaysia, hlm. 86.

[34] Zakiah Hanum, Tercabarnya Maruah Bangsa , hlm. 17.

[35] Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, hlm 256.

[36] Mohd Salleh Abas,Prinsip Perlembagaan & Pemerintahan di Malaysia, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,1997, hlm19.

[37] Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu,Hlm 256. PKM telah merosakkan ladang-ladang getah dan lain-lainya, merosakkan sistem pengangkutan awam, menyerang orang awam,pelabur dan pegawai-pegawai British,melancarkan mogok dan sabotaj perindustrian. Rujuk Abdullah bin Ayub Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957-1963, hlm 31.

[38] Ibid.

1 comment: