Tuesday, 26 January 2010

SULTAN KEDAH PEMANGKU YANG DI-PERTUAN AGONG

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah, Selasa diisytihar sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Watikah perisytiharan itu dibaca oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu istiadat di Istana Darul Aman, Jalan Kedah, Bukit Persekutuan di sini.

Baginda kemudiannya menandatangani watikah perisytiharan bagi menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong selama sebulan.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dijadual menjalani rawatan fisioterapi selama 21 hari di Medical Park, St.Hubertus, Bad Wiessee, Jerman.

Sultan Abdul Halim, yang ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Feb 1959, adalah Yang di-Pertuan Agong kelima dari 20 Sept 1970 sehingga 20 Sept 1975.

Istiadat hari ini turut dihadiri puteri baginda, Tunku Panglima Besar Datuk Seri Puteri Intan Safinaz, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa anggota Jemaah Menteri.

Terdahulu, Sultan Abdul Halim dan Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun, tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA di Sepang pada 11 pagi bagi menghadiri istiadat itu.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Najib dan Rosmah.



-- BERNAMA
Kedudukan Yang di-Pertuan Agong Dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Mengikut Perlembagaan Malaysia
Seri Paduka Baginda Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sedang mencium Al-Quran sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XIII pada 26 April 2007 di Istana Negara.
Sumber : Perpustakaan Foto, Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia

Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong seperti berikut:

"32. Kepala Utama Negara bagi Persekutuan, dan Permaisurinya

(1) Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua pembicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15.

(2) Permaisuri Yang di-Pertuan Agong (yang digelar Raja Permaisuri Agong) adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.

(3) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima tahun tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan mengutus surat yang ditandatangani olehnya kepada Majlis Raja-Raja, atau dipecat dari jawatannya oleh Majlis Raja-Raja dan hendaklah terhenti daripada memegang jawatan apabila terhenti daripada menjadi seorang Raja.

(4) Peruntukan-peruntukan Bahagian 2 dalam Jadual Ketiga hendaklah dipakai bagi memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan".

Perkara 33 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti berikut:

"33. Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan

(1) Maka hendaklah ada seorang Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan (digelarkan Timbalan Yang di-Pertuan Agong) dan ia hendaklah menjalankan tugas-tugas serta mempunyai keistimewaan-keistimewaan Yang di-Pertuan Agong dalam masa berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong dan dalam masa Yang di-Pertuan Agong tidak berupaya menjalankan tugas-tugas jawatannya oleh kerana sakit, tidak ada dalam Persekutuan ataupun oleh kerana apa-apa sebab lain, tetapi Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan tugas-tugas itu dalam masa Yang di-Pertuan Agong tidak berupaya atau tidak ada dalam Persekutuan selama yang dijangka kurang daripada lima belas hari, melainkan jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adalah perlu dan mustahak tugas-tugas itu dijalankan.

(2) Timbalan Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh-jawatan lima tahun, atau jika dipilih dalam tempoh-jawatannya itu, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan mengutus surat yang ditandatangani olehnya kepada Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terhenti daripada memegang jawatan apabila terhenti daripada menjadi seorang Raja.

(3) Jika dalam tempoh jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, kekosongan berlaku dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong, maka tamatlah tempoh jawatannya apabila kekosongan itu dipenuhi.

(4) Peruntukan-peruntukan Bahagian 2 dalam Jadual Ketiga hendaklah dipakai bagi memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan.

(5) Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan supaya tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong dijalankan oleh seorang Raja jika tugas-tugas itu terpaksa menurut Fasal (1) dijalankan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak dapat dijalankan demikian itu oleh kerana jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kosong atau tidak ada dalam Persekutuan ataupun oleh kerana apa-apa sebab lain; akan tetapi undang-undang itu tidak boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja".

http://www.malaysianmonarchy.org.my/
Apabila Agong berkuasa penuh lantik PMPDFPrintE-mail

©The Malaysian Insider
oleh Zulkifli Sulong

MAC 5 — "Agong mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Perdana Menteri," kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam Dewan Rakyat baru-baru ini. Ia telah disiarkan secara jelas dalam beberapa akhbar khasnya akhbar The Sun.

Kuasa inilah yang digunakan oleh Sultan Terengganu ketika melantik Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar Terengganu walaupun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku pemimpin tertinggi BN, mahukan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai MB.

Ia juga berlaku di Perlis. Walaupun Abdullah, melalui suratnya mahukan Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi MB, namun Datuk Mat Isa Sabu yang diperkenankan oleh Raja Perlis.

Selepas Mac 2009 nanti, Abdullah akan meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Inilah janji beliau dan ia diulangi lagi baru-baru ini.

Selepas beliau meletakkan jawatan, sebagaimana dikatakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa sepenuhnya untuk melantik siapa sahaja yang difikirkan baginda mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

"Tidak boleh. Baginda mesti melantik ketua parti iaitu Najib?" kata seorang anggota Parlimen Umno kepada saya. "Dalam kes Terengganu berbeza kerana Idris bukan ketua parti," tambah ahli Parlimen dari Umno berkenaan lagi.

Jika benar apa yang dikatakan beliau itu, bermakna tidak benarlah apa yang dikatakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat itu.

Kini, khabar angin tersebar luas kononnya Yang di-Pertuan Agong tidak berapa senang dengan bakal Perdana Menteri yang ada. Ini kerana, beliau terlalu banyak “masalah” yang belum selesai yang dipikul dan digalasnya.

Jika begitu, bagaimana kalau ada usaha dibuat untuk memberikan alternatif kepada baginda untuk memilih "orang yang difikirkan baginda mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat". Bukan Najib sahaja bahkan ada orang lain juga layak untuk mendapat status itu... mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Inilah yang sedang hangat dibincangkan sekarang. Saya percaya inilah asasnya mengapa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan cadangan kerajaan perpaduan atau unity government beliau.

Tanpa prajudis kepada sebarang perancangan yang dibuat oleh Presiden Pas itu, pada pandangan saya, selain dari Najib, anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga layak untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Ia boleh dipertimbangkan dalam konteks kerajaan perpaduan ini.

Selepas The Malaysian Insider dan Siasah menyiarkan kenyataan Abdul Hadi tentang kerajaan perpaduan ini, Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li ini, adalah pemimpin pertama yang menyambut baik cadangan ini.

The Malaysian Insider sendiri berpandangan, Ku Li bercakap bukan untuk Umno tetapi untuk Malaysia. Beliau jelas sudah keluar dari kotak pemikiran biasa Umno.

Saya juga yakin, bukan hanya Ku Li sahaja yang berfikiran sebegitu tetapi ada ramai lagi pemimpin dan wakil rakyat Umno yang berpandangan seperti beliau. Ramai antara mereka sudah sedar, Umno sudah terlalu tertinggal dalam memahami hasrat rakyat Malaysia. Umno sudah terlalu terkongkong oleh sikap ketuanan mereka. Namun, mereka hanya diam sahaja. Mereka menunggu siapakah yang akan ke depan.

Inilah yang berlaku di Terengganu selepas 8 Mac 2008 lalu. Datuk Ahmad Said bukanlah pilihan kedua selepas Idris Jusoh untuk menjadi MB. Namun kerana dia yang berani dan sanggup, dia terpilih.

Jadi, kenapa kita tidak melihat cadangan kerajaan perpaduan ini atas prinsip ini. Sebuah kerajaan sementara yang mana semua pihak (Umno, Pas, PKR, DAP, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain parti politik) bersatu tenaga demi kepentingan Malaysia.

Kerajaan perpaduan ini akan meletak semula dasar-dasar negara di atas landasan yang betul demi kepentingan kita bersama yang bernaung di bawahnya. Kita beri alternatif kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pilihan selain Najib selepas Abdullah meletakkan jawatannya.

Untuk itu, saya meletakkan, biarlah Ku Li menjadi pilihan lain selain Najib untuk menjadi perdana menteri kerajaan perpaduan ini. Di bawahnya akan ada pemimpin PKR, DAP, Pas, Umno, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain yang menjadi menterinya berdasarkan kekuatan parti masing-masing dan kesediaan mereka menyertai kerajaan perpaduan ini.

Saya percaya, kita telah membuat satu kebaikan kepada negara apabila kita memberikan pilihan kepada ketua negara kita, iaitu Yang di-Pertuan Agong, untuk membuat pilihan bukannya terpaksa memilih yang satu sahaja.

Apabila saya melontar idea ini, banyak pihak yang menyifatkan saya menjual cerita penglipurlara. Cerita lakluk, kata seorang blogger. Saya juga dituduh sebagai agen kepada projek muzakarah Pas-Umno yang tidak jadi itu. Namun, melihat kepada senario politik yang ada sekarang, saya percaya, semua adalah serba mungkin.

Peralihan Kuasa: Hanya Agong boleh lantik PM

KUALA LUMPUR – Hanya kuasa Yang Dipertuan Agong sahaja mampu memilih dan melantik seorang Perdana Menteri setelah mendapat majoriti di Parlimen. Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar, Abdullah bakal mengulangi kesilapan beliau sebelum ini dengan pihak istana kerana melakukan keputusan sesuka hati. “Yang Dipertuan Agong dan majoriti parlimen sahaja mampu melantik Perdana Menteri. Abdullah tidak boleh menamakan sesiapa sebagai pengganti,” katanya. Mengulas mengenai beberapa laporan media perdana yang membayangi Najib Tun Razak bakal menggantikan kerusi beliau sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, Mahfuz berkata, Abdullah hanya berhak berundur.

“Sekiranya beliau mahu berundur, dia boleh lakukan. Bukannyadengan membayangi Najib sebagai pengganti. Abdullah sepatutnya menyerahkan kepada bahagian-bahagian Umno untuk mencalonkan jawatan Presiden,” katanya lagi. Jelasnya, melalui percalonan di peringkat bahagian, Presiden Umno hanya boleh dipilih oleh pewakilan seterusnya menggantikan Abdullah. “Kerusi Perdana Menteri pula hanya boleh dilantik oleh Yang Dipertuan Agong setelah mendapat mandat dari majoriti Parlimen,”katanya.

Tindakan berkenaan, sekiranya gagal, Abdullah dilihat akan mengulangi kesilapan yang sama seperti mana yang berlaku pada pilihanraya lepas di Terengganu dan Perlis. Kesilapan Abdullah ketika itu adalah melantik menteri besar, Terengganu dan Perlis tanpa mendapat perkenan pihak istana. Walaubagaimanapun pihak Istana membelakangi kehendak Abdullah, dengan melantik menteri besar yang mendapat perkenan Raja dan Sultan kedua-dua negeri berkenaan.

“Tragedi itu, menunjukan kebiadapan Abdullah serta pengikut Umno yang memprotes perkenan Yang Dipertuan Agong selaku Sultan Terengganu,”katanya yang merujuk insiden kata-kata kesat terhadap Agong sewaktu protes perlantikan Menteri Besar Terengganu. Jelas Mahfuz lagi, sebelum berundur, Abdullah sepatutnya membersihkan imejnya yang telah dicemari oleh dirinya sendiri.“Abdullah harus berundur dengan membersihkan imej beliau sebagai seorang pemimpin dan bakal bekas Perdana Menteri,” katanya.

http://www.suarakeadilan.com

[Ini bermakna, biarpun Najib dilihat bakal menjadi Presiden UMNO tapi belum tentu beliau berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri. Rakyat semua tahu apakah yang telah dilakukannya selama ini. Berbagai skandal yang menimpa beliau mencerminkan bahawa Najib bukanlah calon yang paling sesuai untuk jawatan nombor satu itu. Siapakah yang akan bersaing dengan Najib dalam hal ini. Pastinya Anwar atau pun Ku Li. Jika Ku Li menang, sudah pasti Kerajaan Perpaduan akan dibentuk dan Anwar pasti akan berada di dalam. Jika Anwar menang pula sudah pasti Ku Li turut akan berada di dalam. Maka mana satukah akan berlaku dulu, Ku Li menang menerusi UMNO atau Anwar pula menang menerusi peralihan kuasa kerajaan pusat]

http://pahangdaily.blogspot.com

AHAD, MAC 08, 2009

SOAL JAWAB : SULTAN PERAK MEMILIKI KUASA LANTIK MENTERI BESAR SESUAI DENGAN UNDANG - UNDANG TUBUH NEGERI




Oleh Rasid Rahaman dan Siti Almizan Aripin


TINDAKAN Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar baru terus dipertikaikan Pakatan Rakyat walaupun ia dilakukan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Menteri Luar, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim berpengalaman luas dalam soal perundangan yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengupas krisis itu. Ikuti temu bual beliau dengan Pengarang Berita, Berita Minggu, Rasid Rahaman dan Wartawan, Siti Almizan Aripin.



BOLEH Datuk Seri jelaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan dalam Perlembagaan Persekutuan terutama dalam proses pelantikan Perdana Menteri dan Menteri Besar?


Seseorang Raja khususnya Yang di-Pertuan Agong mempunyai tiga kuasa besar yang tidak boleh diganjak mengikut Perlembagaan. Pertama, melantik seseorang Perdana Menteri mengikut perkara 43 (2a) Perlembagaan Persekutuan. Kedua, sama ada bersetuju atau tidak bersetuju membubarkan Parlimen dan ketiga, menguruskan perkara berkaitan hak-hak keistimewaan atau pun adat istiadat Melayu dan yang berkaitan dengan agama Islam.


Ketiga-tiga kuasa mutlak ini juga ada pada Raja Melayu atau Sultan di negeri-negeri. Selain itu, Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai pelbagai fungsi dan kuasa mengikut Perlembagaan termasuk sebagai Ketua Turus Angkatan Ketenteraan. Baginda juga mempunyai hak dan kuasa untuk memberi keampunan kepada pesalah yang kesalahannya berlaku di Wilayah Persekutuan. Hak ini juga ada di negeri-negeri, cuma Sultan tidak ada kuasa atau peranan sebagai Ketua Turus Ketenteraan di negerinya.


Kuasa di Perak misalnya melantik seseorang Menteri Besar terletak pada Perkara 16 dan perkara ini ada ceraiannya antara satu hingga enam. Yang penting ialah bagi kita mengetahui kuasa baginda Sultan di Perak melantik Menteri Besar dari kalangan seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak yang pada pandangan baginda mempunyai sokongan teramai atau majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.


Bagaimanapun, peruntukan ini ada pada semua negeri. Bagaimanapun yang tidak ada pada semua negeri adalah Klausa 4 perkara 16 di negeri Perak itu yang berbunyi lebih kurang, Sultan mempunyai kuasa melantik seseorang Menteri Besar dari kalangan yang baginda dapati sesuai dan untuk melantik seseorang Menteri Besar di bawah Klausa 4 itu, baginda boleh mengetepikan mana-mana peruntukan Perlembagaan Negeri jika pada pendapat baginda ini sesuai dan berpatutan.


Klausa atau peruntukan inilah yang pada hemat pakar Perlembagaan digunakan oleh Sultan Perak ketika melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tempoh hari. Seharusnya pelantikan ini tidak dipertikai, tetapi politik sudah mempertikaikannya dan pada masa sama penasihat dan mereka yang bertanggungjawab mengenai Perlembagaan negeri Perak sendiri mungkin berasa terkejut dengan tindakan di luar dugaan itu. Inilah kuasa-kuasa am dan khusus yang ada.


Kenapa pelantikan Menteri Besar Perak terus dipertikaikan?


Politik mempunyai pelbagai mata, tetapi undang-undang mempunyai satu mata. Oleh demikian, politik di Perak yang diasuh oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas nampak bahawa dengan peruntukan Klausa 4 tadi, mereka masih mempersoalkan pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar. Kononnya pada ketika sama tidak ada ujian penentuan dibuat di DUN untuk menentukan siapa yang mempunyai kedudukan majoriti. Jadi dalam hal majoriti di DUN ini memang menjadi suatu kelaziman bagi mana-mana kuasa legislative (perundangan) untuk menentukan majoriti seseorang atau sesuatu kumpulan.


Di Perak, pembangkang terus menduga dengan hujah mereka kononnya Sultan tidak mengendahkan keputusan Dewan. Jadi pihak yang menyebelahi pandangan mereka terus mendesak supaya diadakan undian di Dewan dan menganggap hanya itulah yang sepatutnya diadakan. Tanggapan itu salah sebab menentukan majoriti di DUN hanya salah satu daripada kaedah dan ini diputuskan oleh kes di negeri Sabah pada 1994, Amir Kahar lawan Tun Mustafa. Dan hal ini sudah diterima sebagai hakikat keputusan universal (sejagat). Ia terkandung di dalam pelbagai kes lain juga dan dengan adanya kes di Sabah itu maka jelas bahawa Sultan tidak perlu mengikut kaedah lazim seperti dikatakan oleh pembangkang.


Pada pandangan Datuk Seri siapakah yang berhak bertindak kepada mereka yang mempersoalkan fungsi Sultan?


Kuasa untuk menahan mana-mana pihak daripada menyaman Sultan atau mengheret Sultan, atau menyaman atau mengheret Menteri Besar yang baru, tidak ada. Apatah lagi sejak 1994, pindaan Perlembagaan kepada Perkara 181 sudah dibuat dan pada pindaan itu seseorang Sultan boleh disaman atau sesuatu kesalahan atau salah laku atau atas sesuatu yang sabit dengan kes sivil. Asalkan Pendakwa Raya membenarkannya. Jadi soal dibangkitkan di Perak ini harus diamati dengan baik oleh kerana kita tidak mahu terbabit dengan suasana kita memperli atau memperkecil mahkamah lantaran ada satu dua perbicaraan sekarang yang berlaku di dalam mahkamah yang seharusnya tidak kita pertikaikan perjalanan atau perbicaraan itu.


Tetapi soal ini adalah soal majmuk yang seharusnya masyarakat boleh mengambil perhatian mendalam.


Bloggers turut memperkecilkan fungsi Sultan?


Kita lemah dari segi penguatkuasaan undang-undang. Dan apabila saya nyatakan begini, saya tidak fikir ramai yang tidak bersetuju. Majoriti bersetuju apa saya rasakan. Kita ada Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sama ada puncanya berasaskan kepada radio, televisyen atau blog di dalam internet, ia sama seperti seseorang itu menulis. Sebab niat yang wujud akibat perbuatan itu untuk mewujudkan suasana menghasut atau perasaan syak wasangka hingga menyebabkan perpaduan masyarakat berpecah. Jadi dengan itu, pihak berkuasa harus terus mengambil tindakan mengikut Akta Hasutan atau Kanun Keseksaan atau Akta Polis dan ada beberapa akta lain. Dan tidak semestinya kita guna ISA. Saya cuma bercakap dari hal undang-undang semata-mata. Ini bukan soal hendak mempolitikkan sesuatu isu. Seharusnya, penulis blog ini sudah menerima saman dan juga untuk hadir di mahkamah. Jadi kita bandingkan kalau di beberapa negara jiran, mereka tidak berani menulisnya di blog, kenapa mereka berleluasa di Malaysia. Sebab mereka tahu kita tidak menjalankan tugas asas untuk menyusul sesuatu tindakan mengikut undang-undang.


Apa yang membezakan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dengan negeri lain?


Perbezaannya ada pada beberapa aspek. Salah satu daripadanya adalah kuasa diraja. Kuasa diraja negeri Perak yang ada di bawah 16 (4) tadi didapati hanya ada di beberapa negeri. Dua daripadanya ialah Perlis di bawah Sesyen 39 dan Terengganu di bawah kuasa lama 1911 yang pada tahun 1948 dipinda dan menjadi kuasa mutlak bagi Sultan Terengganu. Dalam proses melantik seseorang Menteri Besar, Sultan di ketiga-tiga negeri ini berkuasa penuh untuk menentukan siapa yang baginda rasa wajar. Jadi kuasa ini dianggap kuasa tradisional. Kuasa turun-temurun dunia Melayu ini lagi dan selepas Inggeris mengaturkan pada 1948, di bawah Perjanjian Persekutuan Malaya 1948. Semua negeri Melayu mempunyai beberapa bidang pindaan kepada Perlembagaan yang ada. Jadi bagi negeri Perak, Perlis dan Terengganu khususnya mempunyai kuasa-kuasa itu.


Kuasa untuk memberi pengampunan semuanya ada. Kuasa untuk menentukan Raja itu boleh menjalankan tugas dalam bidang tradisi ada di beberapa kelompok kuasa di Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu, tetapi tidak ada di dalam Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.


Boleh Datuk Seri berikan contoh kes lain yang boleh dibuat rujukan?


Tidak seratus peratus. Tetapi nasnya banyak. Misalnya dalam kes Adigbenro Akintola dari Nigeria ditentukan di situ bahawa dalam menentukan siapa yang boleh menjadi Gabenor harus mempunyai suara ramai. Jadi nas seperti itu juga dipakai di dalam kes Stephen Kalong Ningkan 1966 di Sarawak. Atas kes-kes Komanwel inilah muncul satu corpus undang-undang yang merujuk kepada keputusan DUN menentukan siapa yang mempunyai kuasa majoriti harus diikuti. Kes negeri Perak, keadaan itu telah dibatalkan oleh Klausa 4. Sebab itu Sultan Perak selepas memanggil semua Adun termasuk Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim, Yee Yit Foong (Adun Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Adun Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Adun Changkat Jering). Baginda berpendapat suara ramai sebenarnya sudah ada pada Barisan Nasional (BN). Sebab itu baginda bersetuju ambil Dr Zambry sebagai Menteri Besar.


Kewajaran Speaker gantung Menteri Besar dan 6 DUN daripada menghadiri Persidangan DUN Negeri Perak?


Kuasa itu tidak boleh diikuti sebenarnya sebab prosiding itu tidak dibuat dalam Dewan. Ia boleh dipertikaikan dan tidak seharusnya Menteri Besar akur kepada arahan itu. Sekiranya arahan itu dibuat dalam Dewan dan diluluskan usulnya di bawah Peraturan Tetap 18 atau 89 barulah menjadi perkara yang boleh dikuatkuasakan. Tetapi seseorang Speaker yang Dewannya pun tidak ada, beliau tidak ada kuasa menggantung Menteri Besar dan enam Exco daripada menghadiri persidangan DUN Perak. Sebab Speaker hanya boleh bertindak dalam Dewan. Begitu juga di bawah pokok, bukan Dewan. Seharusnya pihak berkuasa menghalang perhimpunan itu, tetapi ia tidak dihalang. Di situlah saya mempertikaikan cara kita mentadbirkan kuasa undang-undang di negara ini yang sudah berlainan sangat ketika saya menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri dulu (tahun 1977-1978).


Ada pihak menyatakan Speaker DUN Perak tidak perlu mendapatkan perkenan Sultan untuk mengadakan persidangan baru kerana persidangan terdahulu hanya ditangguhkan, bukan ditamatkan. Boleh Datuk Seri komen?


Itu pandangan biasa namanya. Pandangan yang tidak berasaskan kepada undang-undang. Tetapi jikalau seseorang itu meneliti perkara 36 dan melihat kehendak dan kuasa Sultan di situ, ialah bahawa Sultan mempunyai kuasa itu. Kita tidak boleh hanya menyatakan oleh kerana ini hanyalah kesinambungan kepada Dewan dulu. Sedangkan Menteri Besar sudah bertukar, Exco sudah bertukar, Menteri Besar lama sudah keluar daripada bidang tugas dan bidang kuasanya. Ia sudah menjadi suatu keadaan baru. Sebab itu perlunya kita mendapat arahan daripada Sultan. Sebenarnya ketika Dewan tidak bersidang, kuasa Sultan tetap ada. Sama ada hendak mengarah Dewan bersidang atau tidak. Ini perlu difahami semua orang yang berkaitan dengan DUN. Speaker tidak boleh berbuat sesuka hati di negeri begitu juga di Parlimen. Jika Yang di-Pertuan Agong menyatakan baginda hendak menangguhkan Dewan, jadi ini kuasa baginda.


Tindakan Speaker DUN Negeri yang mengadakan persidangan di bawah pokok dari sudut undang-undang?


Pertama, istilah Dewan mengikut amalan Parlimentary Practice Commonwealth termasuk yang diamalkan di House of Common (Dewan Rakyat) dan di House of Lord (Dewan Negara). Ia institusi berdinding, beratap dan menggunakan suatu bangunan. Jadi apabila seseorang itu bersidang di bawah pokok, ia bukan bersidang di dalam Dewan. Tidak ada rumahnya jadi mengikut Sesyen 27, seharusnya kita sudah boleh bertindak, tapi kenapa dibiarkan? Soalan ini saya tidak boleh jawab. Jadi saya berterus terang menyatakan tindakan-tindakan preventive (pencegahan) kita tidak cukup. Dan mesyuarat itu tidak sah.


Adakah tindakan pencegahan itu perlu tunggu arahan menteri sebelum polis boleh bertindak?


Tanpa menyinggung mana-mana perasaan, polis sendiri boleh bertindak. Sebab ini bukan berada di bawah cabang keselamatan. Ini kesalahan awam biasa. Ada tiga undang-undang berkaitan dengan tindakan awam. Pertama Akta Polis, kedua Akta Ketenteraman Awam dan ketiga ialah akta bersabit dengan mesyuarat atau berkaitan dengan Dewan Parlimen misalnya. Jadi mereka terbabit boleh diambil tindakan mengikut Akta Polis dan Akta Ketenteraman Awam 1959.


Jadi, jika persidangan dibuat tidak sah, bagaimana dengan tiga usul diluluskan oleh DUN di bawah pokok?


Ia juga tidak sah. Satu, prosedurnya ialah Setiausaha Dewan harus menyediakan notis sekurang-kurang tujuh hari atau menurut kehendak Speaker boleh disingkatkan. Dalam persidangan itu, Setiausaha Dewan tidak terbabit. Proses itu tidak dilakukan. Yang kedua, mengikut Perkara 36 Perlembagaan negeri Perak, Sultan hendaklah memanggil dari semasa ke semasa sidang DUN. Bermakna masa tertentu, Sultan harus dimaklumkan lantaran konsep DUN di negeri-negeri, pertama Sultan dan kedua DUN. Jika di Parlimen, konsep Parlimen ialah pertama Yang di-Pertuan Agong dan kedua Dewan Rakyat dan ketiga Dewan Negara. Jadi di negeri, Speaker tidak boleh bertindak sesuka hati, sekurang-kurangnya setiausaha mesti berfungsi dan yang paling wajar Sultan perlu memainkan peranannya. Sultan juga boleh meminta supaya sidang diadakan. Menteri Besar juga mengikut petisyen di bawah kuat kuasa peraturan Dewan Negeri Perak boleh meminta Dewan diadakan. Timbalan Speaker pun boleh sekiranya Speaker mempunyai alasan, dan boleh buat petisyen mengikut Sesyen 8 Peraturan negeri Perak.


Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenivasan menyatakan kekebalan Speaker DUN termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada akta atau undang-undang lain yang boleh mencabarnya. Boleh Datuk Seri komen?


Mereka yang cakap kebal ini sebenarnya kebal dari apa. Itu saya fikir satu terma yang sengaja diwujudkan untuk mengelirukan pelbagai pihak. Speaker tidak kebal dari segi undang-undang dan juga prosedur.


Pertama, seseorang Speaker jika tidak mengikut prosedur, fungsinya terbatal. Speaker beroperasi di dalam Dewan bukan di luar Dewan. Speaker mesti menerusi Setiausaha Dewan, Speaker tidak boleh mengarahkan dengan sendiri. Kerja-kerja Speaker mengadakan persidangan dan membubarkan Dewan mesti mendapat kelulusan Sultan sebab erti DUN, tampuknya ialah Sultan dan bawahnya DUN.


Seterusnya, jika Speaker menyalahi keempat-empat prosedur ini, Speaker boleh dihadapkan kepada Jawatankuasa Keistimewaan atau Committee of Privileges apabila bersidang nanti. Jadi pandangan terbaik adalah oleh kerana BN sekarang sudah pun majoriti selepas dibuat perkiraan tempoh hari, kenapa tidak berani mengadakan Dewan, lantik Speaker baru. Di bawah Perkara 39 Perlembagaan Perak, ada peruntukan bagi Timbalan Speaker.


Kenapa ini tidak berlaku?


Inilah masalahnya. Kita kena berani sekarang melaksanakan tuntutan undang-undang. Paling penting, Perak sekarang ini dinasihati oleh satu kumpulan. Kita harus meneliti adakah kumpulan ini memadai bagi perjuangan negeri Perak menghadapi cabaran sekarang. Tapi ini bukan bagi saya untuk jawab. Terserah kepada pihak negeri. Kita mesti mencari alternatif yang praktikal jadi mesti orang yang betul-betul memahami prosedur politik dan juga prosedur dalaman legislative (perundangan) dan juga peraturan menguatkuasa undang-undang dalam DUN.


Adakah kerajaan baru ini boleh berfungsi sebagai kerajaan negeri?


Sebenarnya boleh dan yang terbaik ialah memberi legitimacy (kesahihan) kepadanya di DUN sekarang. Sebab BN sudah majoriti. BN sudah ada 31 Adun termasuk tiga DUN Bebas. Apa yang hendak ditakutkan. Cuma soalan saya, betulkah yang empat orang itu tidak berubah hatinya. Bak kata pepatah, anak sungai lagikan berubah ini pula hati orang. Jadi sekarang mahu tanya balik. Kalau betul kita majoriti, sebaik-baiknya dibuat petisyen di bawah Peraturan 8 ataupun 18 di dalam kaedah peraturan tetap, diadakan sidang. Speaker kalau tidak hadir pun tidak apa. Sebab petisyen boleh dibantu oleh arahan daripada Sultan mengadakan sidang. Menteri Besar sekarang pun boleh memohon menerusi petisyen, di situ lantik Speaker baru.


Ada pihak terutama Pakatan Rakyat menganggap masalah kecelaruan politik di Perak boleh diselesaikan jika DUN dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan. Komen Datuk Seri?


Itu pilihan mereka. Kalau hendak buat begitu, kini terpulang kepada Sultan Perak. Sekarang setahu saya baginda tidak bersetuju, tidak berkenan untuk bubar Dewan. Kalau Sultan tidak berkenan bubar Dewan, sebaik-baiknya kita memilih Speaker baru. Itu jalannya. Kita gunakan institusi DUN bagi memberi cop legitimacy kepada kerajaan negeri sekarang. Di situ kita boleh dengar petisyen daripada Menteri Besar, petisyen daripada Setiausaha misalnya dan kita buat usul dan diterima. Dan saya percaya akan lulus sebab majoritinya ada, iaitu sekurang-kurangnya satu. Ini yang terbaik.

Agong diberi kuasa untuk tolak bubar dewan oleh PM!

- mSTAR

Isnin Februari 11, 2008


SAYA bergegas menghubungi Profesor Dr. Abdul Aziz Bari untuk mendapat penjelasan lanjut kenapa Perlembagaan memberi kata putus kepada Yang Di Pertuan Agong dalam soal pembubaran parlimen.

Pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menjelaskan, Perlembagaan Malaysia mengambil iktibar dari pengalaman di Komanwel sejak lebih 100 tahun yang lalu dan Suruhanjaya Reid menyatakan bahawa adalah tidak bijak untuk memberi hak mutlak kepada kerajaan yang memerintah untuk membubarkan dewan.

Dr. Abdul Aziz menambah bahawa sebab mengapa ia tidak bijak ialah kerana pilihan raya mengambil masa, memakan biaya dan mengganggu pentadbiran negara jika ia terlalu kerap diadakan.

Dengan kata lain, tegas beliau, Yang Di Pertuan Agong diberi amanah untuk menimbangkan sama ada pembubaran yang bermakna pilihan raya itu perlu untuk kebaikan negara.

Suruhanjaya Reid bagaimanapun katanya, mengakui adalah tidak mungkin untuk menyenaraikan keadaan-keadaan di mana permintaan untuk membubarkan dewan oleh Perdana Menteri boleh atau perlu ditolak.

Beliau yang saya minta perjelaskan lebih lanjut berkenaan isu ini menegaskan bahawa Suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Reid itu sekadar menyerahkan soal pembubaran dewan kepada kebijaksanaan baginda.

Dr. Abdul Aziz menyatakan bahawa untuk mengetahui sebab-sebabnya, beliau telah membaca pelbagai buku undang-undang dan artikel jurnal yang memuatkan kajian dan analisis dari pelbagai negara Komanwel.

“Agak jelas bahawa kuasa budi bicara itu adalah salah satu dari keadaan di mana baginda perlu memainkan peranan proaktif selaku agen semak dan imbang perlembagaan,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun Pensyarah Undang-Undang UIAM ini, mengingatkan bahawa Yang di Pertuan Agong tidak boleh membubarkan Dewan Rakyat sesuka hati; baginda cuma diberi kuasa untuk menolak permintaan membubarkan dewan oleh Perdana Menteri jika itu perlu dan wajar.

Dr. Abdul Aziz yang pakar dalam isu-isu Perlembagaan itu juga mempertegaskan bahawa kuasa Yang di Pertuan Agong itu hanya relevan sebelum Dewan Rakyat mencecah usia lima tahun kerana di kala itu dewan akan terbubar dengan sendirinya secara automatik.

Berdasarkan pengalaman seluruh Komanwel antara sebab-sebab mengapa permintaan membubarkan dewan ditolak ialah apabila pembubaran diminta tidak lama selepas pilihan raya; contohnya dua tahun selepas pilihan raya.

“Atau di dalam keadaan daftar pemilih belum siap dan banyak masalah. Pernah berlaku di sebuah negara di mana Gabnor-Jeneral menolak pembubaran dewan ketika ramai pengundi tidak berada di dalam negara,” tegasnya lagi.

Dr. Abdul Aziz menyimpulkan bahawa pengalaman di Malaysia setakat ini ialah kerana kerajaan boleh dibentuk tanpa pilihan raya dan ia baru sahaja diadakan.

“Ini yang berlaku di Terengganu pada 1962. Ketika itu kerajaan negeri dibentuk oleh PAS yang memenangi pilihan raya negeri pertama pada 1959. Bagaimanapun Umno berjaya membeli Adun PAS menyebabkan kerajaan yang dibentuk oleh PAS goncang.

“Dalam keadaan itu Sultan menolak permintaan untuk membubarkan dewan kerana jelas pihak Umno boleh membentuk kerajaan dengan adanya Adun yang cukup setelah mereka berjaya mempengaruhi Adun PAS menyeberang ke pihak mereka”.

Keadaan di Kelantan pada 1977 sedikit berbeza. Ketika itu Dato Mohamed Nasir – Menteri Besar PAS yang ditunggangi oleh Umno – tumbang kerana diundi tidak percaya oleh Adun PAS.

Jadi jelas Dr. Abdul Aziz lagi, PAS mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan. Pemangku Raja ketika itu – Tunku Ismail Petra – menolak permintaan Mohamed Nasir untuk membubarkan dewan kerana ia jelas tidak perlu.”

Kerajaan negeri dibentuk pada 1974 selepas pilihan raya kebangsaan. Dalam insiden di Kelantan itu, jelas beliau ada beberapa perkara yang penting yakni:

(1) Menteri Besar tumbang kerana undi tidak percaya ia tidak boleh memohon pembubaran dan

(2) Sebagaimana di Terengganu kerajaan masih boleh dibentuk tanpa melalui pilihan raya.

Oleh kerana Umno mati akal dan ia meminta Kerajaan Pusat mengisytiharkan darurat di Kelantan yang membawa kepada pilihan raya negeri 1978 dan berjaya membentuk kerajaan buat pertama kali sejak merdeka.

Mengenai penolakan di Sabah pada 1994 pula, Pensyarah UIAM itu menegaskan, ia sama dengan apa yang berlaku di Terengganu di mana Umno berjaya melumpuhkan Kerajaan PBS melalui taktik yang serupa.

Dalam keadaan tersebut tidak sukar bagi Yang di Pertua Negeri untuk menolak permintaan membubarkan dewan oleh PBS.

Selain keadaan-keadaan itu banyak lagi suasana yang memberi alasan untuk Yang di Pertuan Agong menolak permintaan membubarkan Dewan Rakyat.

Dr. Abdul Aziz berkata beliau setuju dengan cadangan BERSIH yang menyeru baginda menolak permintaan Perdana Menteri.

“Ini kerana kita boleh menunggu sehingga April atau Mei 2009 apabila Dewan Rakyat mencapai usia lima tahun dan terbubar sendiri,” ujarnya lagi.

Beliau berpendapat Yang di Pertuan Agong boleh menggunakan budibicara baginda di bawah Perkara 40(2)(b) itu bagi mempastikan pilihan raya yang bebas dan adil khususnya “dalam mempastikan wujudnya daftar pemilih yang bersih dan tidak diragui”.

Kesimpulannya, Dr. Abdul Aziz berkata, segala-galanya terpulang kepada Yang di Pertuan Agong untuk berbuat sesuatu.

Tetapi, beliau sendiri mengakui, ini semua bergantung kepada kekuatan peribadi dan komitmen baginda.

Sebab itu, katanya lagi, Perlembagaan mewajibkan baginda berikrar dengan lafaz wallahi, wabillahi dan watallahi sebagaimana yang diwajibkan oleh Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

“Yang DiPertuan Agong sebagai seorang Islam akan diminta bertanggung jawab di akhirat nanti,” tegasnya mengakhiri sembang-sembang berkenaan isu Perlembagaan dengan saya!

Persekutuan Tanah Melayu 1948

Pengenalan

Sejak rancangan Malayan Union dicadangkan, seterusnya diumumkan dalam satu kertas putih pada akhir Januari 1946, pelbagai pihak terutamanya orang-orang Melayu telah bangkit menentang dengan kuatnya skim baru itu, anggota-anggota perkhidmatan awam Inggeris yang telah bersara dan pemimpin-pemimpin Melayu turut berganding bahu menentang rancangan union tersebut[1] kerana syor-syornya yang jelas dilihat bakal memberikan kesan buruk kepada institusi pemerintahan beraja serta nasib masyarakat Melayu itu sendiri. Orang-orang Melayu mula sedar akan kerugian dan bencana yang akan mereka terima jika Malayan Union dilaksanakan.[2] Malah, rancangan tersebut juga turut mendapat kritikan daripada orang-orang Cina dan India.

Usaha penentangan dilakukan dalam pelbagai cara termasuklah tindakan memulaukan majlis-majlis berkaitan Malayan Union serta tindakan berkabung oleh orang-orang Melayu. Justeru itu, pada bulan Julai 1946, suatu jawatankuasa kerja telah dilantik yang terdiri daripada wakil-wakil Umno, wakil-wakil Raja-raja negeri Melayu dan wakil –wakil Kerajaan Inggeris untuk merangka suatu perlembagan yang baru bagi menggantikan Malayan Union.[3] Hasilnya, perlembagaan Malayan Union yang diperkenalkan pada 1 April 1946 itu terpaksa dimansuhkan oleh Kerajaan Inggeris pada 31 Januari 1948[4] dan digantikan dengan Perlembagaan baru iaitu Perlembagaan Pesekutuan Tanah Melayu 1948.

Halangan dan Tentangan

Umumnya, di samping usaha dan rundingan yang dijalankan bagi melaksanakan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948, terdapat juga beberapa halangan dalam mencapai matlamat tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui penentangan terhadap rancangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang kelihatan sejak awal lagi dengan kewujudan pihak yang tidak bersetuju terhadap rancangan tersebut. Mereka terdiri daripada sesetengah pihak terutamanya mereka yang bukan berketurunan Melayu seperti orang Cina.[5]

Selain itu, di kalangan orang Melayu juga wujud PKMM atau Parti Kebangsaan Melayu Malaya[6] yang secara jelas dipengaruhi PKM atau Parti Komunis Malaya yang menentang rancangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Bagi bukan Melayu, hasil daripada rasa tidak setuju ini telah direalisasikan dengan penubuhan AMCJA atau All Malaya Council of Joint Action[7] setelah Kesatuan Cina Melaka yang ditubuhkan oleh Tan Cheng Lock tidak begitu berpengaruh dalam politik sebelumnya.

Pada peringkat awal, badan ini turut disertai oleh badan-badan Melayu yang tidak bersetuju dengan rancangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu tetapi telah keluar dari AMCJA. Pada Januari 1947, badan-badan pertubuhan Melayu yang telah keluar dari AMCJA termasuklah PKMM telah bergabung menubuhkan PUTERA atau “Pusat Tenaga Rakyat”. Kedua-dua badan politik ini akhirnya telah bergabung dalam menentang Perjanjian Persekutuan yang dilakukan dalam pelbagai sudut termasuklah usaha membangkitkan perasaan orang ramai.[8]

Walaupun pelbagai penentangan dilakukan, Persediaan untuk meggubal Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu rancak dijalankan oleh jawatankuasa yang dianggotai 12 orang wakil Raja-raja, UMNO dan pegawai-pegawai British[9] dan akhirnya Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah berjaya ditubuhkan bagi menggantikan Malayan Union dan merupakan satu kejayaan hebat yang disambut oleh pelbagai etnik. Namun kejayaan ini turut diratapi oleh sesetengah pihak seperti AMCJA, PUTERA dan sebagainya terutamanya orang-orang Cina yang berasa telah tertipu kerana merasakan mereka lebih setia kepada British semasa perang.[10]

Isi Kandungan Perlembagaan 1948

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 memperlihatkan beberapa ciri yang berbeza daripada Malayan Union . Antaranya ialah kuasa memerintah Persekutuan Tanah Melayu terletak pada tangan Pesuruhjaya Tinggi Inggeris[11] dan beliau akan dibantu oleh Majlis Kerja Kerajaan (Executive Council)[12] yang mengandungi ahli-ahli rasmi dan ahli-ahli tidak rasmi yang dilantik sendiri oleh Pesuruhjaya Tinggi.[13] Persekutuan Tanah Melayu juga akan mempunyai Majlis Undangan yang dipengerusikan oleh pesuruhjaya Tinggi dan mempunyai 75 orang ahli iaitu 14 ahli rasmi, 9 Menteri Besar dari Negeri-negeri Melayu, 2 wakil dari Majlis-majlis mesyuarat negeri Pulau Pinang dan Melaka serta 50 orang ahli tidak rasmi yang mewakili kaum-kaum yang terdapat di Persekutuan Tanah Melayu serta mewakili kepentingan-kepentingan perniagaan, buruh dan perusahaan lombong dan getah.

Secara umumnya, ahli-ahli yang tidak rasmi pada peringkat permulaan ini adalah dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi dan boleh dipilih orang ramai apabila tiba masanya.[14] Hal ini mempunyai kesinambungan hingga kini kerana ahli-ahli Majlis Perundangan Persekutuan adalah dipilih melalui pilihanraya, cuma berbezanya semua ahli yang dipilih merupakan ahli rasmi dan tidak mempunyai ahli tidak rasmi. Perkiraan ahli dari segi kaum menunjukkan orang Melayu terdiri daripada 31 orang, 14 orang Cina, 7 orang Eropah, 5 orang India, dan masing-masing seorang Ceylon dan Serani.[15] Berkaitan bidang kuasa, kerajaan persekutuan bertanggungjawab dalam hal-hal pertahanan, perdagangan, perhubungan, kewangan serta lain-lain yang mempunyai kepentingan bersama.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari !948 juga telah mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu. [16] Raja-raja Melayu telah diberikan semula hak-hak utama, kuasa dan bidang kuasa ke atas negeri mereka masing-masing seperti sebelum perang. Namun dari segi kesannya, kuasa raja-raja Melayu hampir sama dengan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu kerana kuasa pentadbiran lebih banyak dipegang oleh Majlis Mesyuarat Negeri serta Majlis Undangan Negeri.

Sebuah Majlis Raja-raja telah dibentuk yang bertujuan membolehkan raja-raja Melayu berbincang dengan Pesuruhjaya Tinggi berkaitan hal-hal Imigreren yang diadakan sekurang-kurangnya tiga kali setahun.[17] Berkaitan Imigresen juga, seseorang warganegara persekutuan Tanah Melayu tidak lagi memerlukan sebarang dokumen jika mahu masuk ke sesuatu negeri yang lain dari negeri kelahirannya. Kesinambungan daripada aspek ini juga dapat dikaitkan dengan penyatuan semua negeri-negeri di bawah satu unit persekutuan. Dalam hal ini, Persekutuan Tanah Melayu mengandungi sembilan buah negeri-negeri Melayu dan Pulau pinang serta Melaka. Singapura pula kekal sebagai koloni yang berasingan.[18]

Bagi peringkat Negeri pula, Sultan mempunyai kuasa memerintah dengan bantuan sebuah Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan dan sebuah Dewan Perundangan Negeri. Sultan ataupun Raja-raja bagi setiap negeri bertanggungjawab dalam mengesahkan sebarang rang unang-undang yang diluluskan dalam Dewan Perundangan Negeri. Malah juga boleh meluluskan rang undang-undang yang tidak berjaya diluluskan di Dewan Perundangan Negeri.seterusnya, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa ke atas Kerajaan Tempatan mereka sendiri, agama, pelajaran, pertanian dan tanah.[19]

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 juga meletakkan suatu lagi isu penting yang menjadi asas utama dalam penentangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union iaitu Hal Kewarganegaraan. Raja-raja Melayu telah bersetuju memberikan taraf kewarganegaraan Persekutuan Tanah Melayu kepada 300, 000 orang bukan Melayu yang layak.[20] Ianya juga berpunca daripada fasal-fasal kewarganegaraan yang terbahagi kepada dua iaitu mereka yang memperoleh kewarganegaraan melalui kuatkuasa undang-undang dan mereka yang layak untuk meminta menjadi warganegara dengan cara kemasukan atau permintaan.

Mereka yang menjadi warganegara melalui kuatkuasa undang-undang terdiri daripada penduduk asal dari negeri-negeri Melayu sama ada lahir sebelum, semasa, atau selepas tarikh yang ditetapkan seperti kandungan fasal 124 (1) (a) Perjanjian Persekutuan tanah Melayu iaitu “Mana-mana rakyat Yang Maha Mulia Raja-raja[21] bagi mana-mana Negeri Melayu sama ada yang diperanakkan dahulu,atau pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan;”[22]. Selain itu, warganegara British yang tinggal secara tetap[23] dalam negeri-negeri yang terkandung dalam Persekutuan Tanah Melayu sama ada sebelum, semasa atau selepas hari persekutuan juga merupakan warganegara secara kuatkuasa undang-undang. Hal ini berdasarkan kandungan fasal 124 (1) (b) dan fasal 124 (1) (c) Perjanjian Persekutuan tanah Melayu iaitu “mana-mana Rakyat British yang dilahirkan dalam salah satu dari Negeri Selat sama ada dahulu,pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan itu yang tinggal tetap dalam mana-mana negeri yang terkandung dalam persekutuan”. Seterusnya, “mana-mana Rakyat British yang telah diperanakkan dahulu, pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan dalam mana-mana negeri yang terkandung dalam persekutuan jika bapanya diperanakkan di mana-mana negeri yang sekarang ini terkandung dalam persekutuan atau jika pada hari diperanakkan itu, bapanya telah tinggal tetap dalam negeri tersebut.”.[24] Syarat ini meletakkan seseorang itu perlu mempunyai bapa yang tinggal secara tetap dalam persekutuan bagi meletakkannya sebagai warganegara secara kuatkuasa undang-undang. Seseorang warganegara British juga boleh menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu secara kuatkuasa undang-undang jika lahir dalam mana-mana Negeri yang terkandung dalam Persekutuan Tanah Melayu serta bertutur dalam bahasa melayu dan mengamalkan adat resam Melayu.[25]

Sementara itu, dalam Fasal 25 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, mereka yang layak untuk memohon menjadi warganegara ialah mereka yang dilahirkan dalam Persekutuan Tanah Melayu dan telah bermastautin secara tetap selama tidak kurang tempoh 8 tahun daripada tempoh 12 tahun berada di Persekutuan Tanah Melayu. Seseorang itu juga boleh memohon untuk menjadi warganegara jika telah tinggal dalam mana-mana negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu dengan bermastautin selama 15 tahun daripada tempoh 20 tahun yang dikira serta merta dari hari permohonannya. Selain daripada salah satu tempoh tersebut, seseorang itu juga perlu mempunyai syarat-syarat lain iaitu bertingkahlaku baik, pengetahun yang cukup dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, telah membuat pengakuan tinggal tetap dan jika permintaannya diluluskan, seseorang itu hendaklah bersedia untuk mengangkat sumpah kerakyatan.[26]

Kesan-kesan

Bermulanya Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah mengembalikan semula status quo politik Raja-raja Melayu, negeri-negeri Melayu dan pengiktirafan kepada orang Melayu sebagai peribumi.[27] Hal ini kerana, semasa Malayan Union dibentuk, kuasa Sultan hanya terbatas kepada soal agama sahaja dengan menjadi presiden majlis di negeri masing-masing. Namun, dengan perlembagaan baru ini, kedaulatan Raja-raja Melayu telah dikembalikan.[28] Disamping itu, hal yang berkaitan kewarganegaraan telah kembali meletakkan kaum Melayu dalam keadaan selesa kerana peraturan-peraturan yang kembali diketatkan. Malah, orang-orang Melayu berasa kedudukan mereka sebagai bumiputera telah diselamatkan dan hal ini dapat dilihat misalnya pelbagai sambutan meriah yang diadakan sebagai tanda kemenangan dalam mengembalikan hak mereka.

Gerakan menuntut kemerdekaan itu bolehlah dikatakan bermula dengan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948.[29] Hal ini dapat dilihat kerana Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 adalah dipinda serta diubah pada tahun 1951, 1953 dan tahun-tahun berikutnya yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan.[30] Walaupun gerakan nasionalisme telah lama bermula,[31] namun usaha secara diplomasi lebih berjaya dalam mencapai kemerdekaan dan cara ini telah kelihatan di beberapa negara lain seperti di India melalui gerakan yang dipimpin oleh Gandhi. Justeru itu, Pembentukan persekutuan hasil gabungan negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu, dan Negeri-negeri Selat[32] serta tolak ansur dalam menghasilkan syarat-syarat Perjanjian Persekutuan merupakan langkah diplomasi dalam menuntut kemerdekaan.

Mukadimah di sebalik perjanjian persekutuan Tanah Melayu 1948 telah melahirkan keinginan Kerajaan United Kingdom dan Raja-raja Melayu untuk mengarah kepada pembentukan “Kerajaan Sendiri”.[33] Tujuan ini dapat dilihat malalui ucapan MacDonald ketika membuat pengumuman mengenai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menegaskan bahawa matlamat akhir Kerajaan British ialah memberi taraf berkerajaan sendiri kepada negara ini.[34] Namun, di sebalik kenyataan ini, British pada asasnya meletakkan kepentingan ekonominya sebagai sangat mustahak dan disebabkan itu, huru-hara politik mestilah dielakkan dari tercetus di Persekutuan ini dan kerjasama politik dari semua bangsa penting dalam menjamin kestabilan politik.[35] Suatu aspek yang dapat dilihat di sini ialah tujuan untuk berkerajaan sendiri itu adalah bagi menggalakkan kerjasama serta tolak ansur semua pihak, dan hal ini merupakan satu kepentingan ekonomi bagi British kerana politik yang stabil akan menggalakkan ekonomi.

Di sebalik kejayaan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948, telah terjadi pula kesan serta-merta iaitu tindakan Parti Komunis Malaya yang cuba merebut kuasa dan mahu menggulingkan kerajaan[36] dengan menjalankan dasar melumpuhkan ekonomi [37] dan pemberontakan ini bermula pada 18 Jun 1948.[38] Hal ini telah membawa kepada pengisytiharan darurat serta pengenalan Rancangan Bringgs.

kesimpulan

Secara keseluruhannya, pembentukan perlembagaan Persekutuan 1948 merupakan desakan dan tentangan yang diketuai oleh UMNO yang menentang Malayan Union. Namun, walaupun UMNO dilihat sebagai tunjang yang menentang Malayan Union, parti-parti yang lain turut menentangnya seperti PKMM dan sebagainya. Apa yang jelas, idea British yang mahu mewujudkan negara kesatuan yang mempunyai status bangsa baru yang sama dalam unit politik Malaya terpaksa berkubur dengan penentangan yang menyeluruh terutama dari penduduk Tanah Melayu. Kesan daripada inilah, Pesekutuan Tanah Melayu diperkenalkan yang sedikit sebanyak membela kepentingan masyarakat pribumi. Ringkasnya, melalui pesekutuan Tanah Melayu 1948 juga telah membuka jalan juga kepada Perlembagaan Tanah Melayu 1957 sekaligus membawa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang menjadi penamat penguasaan kolonial British.

Bibliografi

Abdullah Bin Ayub, Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957-1963, Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978

Barbara Watson Andaya & Leonald Y. Andaya, A History Of Malaysia, London; The

Macmillan press Ltd,1982.

Barbara Watson Andaya & Leonold Y. Andaya, (Terj.) Sejarah Malaysia, Kuala

Lumpur: Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd,1983.

Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu,Kuala Lumpur: Pustaka

Antara,1981.

Khong Kim Hoong, British Rule The Struggle Indenpendence Malaya 1945-

1957,Petaling Jaya: Strategic Information Research Development 2003, 1984

Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, Kuala Lumpur: Utusan

Publication & distributors Sdn Bhd,1994.

Mohd Salleh Abas,Prinsip Perlembagaan & Pemerintahan di Malaysia, Kuala

Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,1997.

Puteh Mohamed & Malik Munip, The Development of National Education System dalam

Malaysia In History, Kuala Lumpur: Malayan Historical Society,1985.

Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Universiti

Malaya, 1998.

Shamsul Amri Baharudin,Masyarakat Malaysia & Alam Sosialnya, Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa Pustaka, 1993.

Zakiah Hanum Hj. Abdul Hamid, et.al, Hari Ini Dalam Sejarah,Jilid II, Kuala Lumpur:

Arkib Negara Malaysia, 1981.

Zakiah Hanum Hj. Abdul Hamid, Tercabarnya Maruah Bangsa,Kuala Lumpur:

Penerbitan Lajmeidah Sdn.Bhd.,1987.

Zuraina Majid, Masyarakat Malaysia,Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia,1982.



[1] Barbara Watson Andaya & Leonold Y. Andaya, (Terj.) Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd,1983, hlm. 297-298.

[2] Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd,1994, hlm. 86-87.

[3]Abdullah Bin Ayub, Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957-1963, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, hlm. 29

[4] Ibid.

[5] Namun, dalam sudut yang lebih mendalam, penentangan dapat dilihat daripada beberapa bahagian iaitu penentangan daripada golongan radikal, penentangan daripada golongan konservatif Cina, penentangan daripada kaum minoriti serta penentangan keras yang merujuk kepada gabungan AMCJA dan PUTERA,Untuk keterangan lanjut lihat Khong Kim Hoong, British Rule The Struggle Indenpendence Malaya 1945-1957,Petaling Jaya: Strategic Information Research Development 2003, 1984, 149-172

[6]Zakiah Hanum, Tercabarnya Maruah Bangsa,Kuala Lumpur: Penerbitan Lajmeidah Sdn.Bhd.,1987, hlm. 17.

[7] AMCJA atau dalam bahasa Melayu disebut “Majlis Bergerak Serentak Se Tanah Melayu” ditubuhkan di Singapura pada 7 Dicember 1946 yang terdiri daripada beberapa gabungan pertubuhan bukan keturunan Melayu yang diketuai oleh Tan Cheng Lock. Untuk keterangan lanjut, lihat Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, hlm. 180.

[8] Ibid.

[9] Ibid.

[10] Barbara Watson Andaya & Leonald Y. Andaya, A History Of Malaysia, London; The Macmillan press Ltd,1982, hlm. 257.

[11] Jawatan Pesuruhjaya Tinggi Inggeris dipegang oleh Sir Edward Gent yang sebelum itu merupakan gabenor Malayan Union.

[12] Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan terdiri daripada tujuh orang ahli rasmi termasuk tiga orang ex-efficio dan tujuh orang ahli tidak rasmi.

[13] Abdullah Bin Ayub, Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957-1963.hlm 80, Lihat juga Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, hlm. 89.

[14] Ibid.

[15] Ibid., Lihat juga Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, hlm. 89.

[16] Zakiah Hanum Hj. Abdul Hamid, et.al, Hari Ini Dalam Sejarah,Jilid II, Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 1981, hlm 6.Lihat juga Puteh Mohamed & Malik Munip, The Development of National Education System dalam Malaysia In History, Kuala Lumpur: Malayan Historical Society,1985, hlm 87.

[17] Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, hlm 90.

[18] Ibid, hlm 88. Lihat juga Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1998, hlm 255.Lihat juga Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu,Kuala Lumpur: Pustaka Antara,1981, hlm 178.

[19] Ibid, hlm 89.

[20] Cheah Boon Kheng,,Evolusi Sebuah Persekutuan,1978 dalam Zuraina Majid, Masyarakat Malaysia,Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, hlm. 8.

[21] Rakyat Yang Maha Mulia Raja-raja bermaksud mereka yang merupakan kaum asli negeri tersebut, atau mempunyai bapa yang merupakan penduduk asli negeri itu dan juga mereka yang telah menjadi “Naturalised” melalui mana-mana undang-undang yang dikuatkuasakan. Naturalised ialah mereka yang telah serasi, memahami adat resam dan bertutur dalam bahasa setempat. Rujuk Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, hlm 215.

[22] Ibid.

[23] Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu ,hlm. 178

[24] Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, hlm. 215

[25] Ibid.

[26] Ibid, hlm 217. Lihat juga Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, hlm 90.

[27] Ibid. hlm 255.

[28] Mohd Idris, et.al, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, hlm 91.

[29] Ibid, Hlm 255.

[30] Abdullah Bin Ayub, Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957-1963, hlm 31. Lihat juga Shamsul Amri Baharudin,Masyarakat Malaysia & Alam Sosialnya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka, 1993, hlm 110.

[31] Gerakan menentang penjajah seperti pimpinan Tok Janggut, dan lain-lain merupaka langkah yang diambil untuk menghalau penjajah dan mempunyai satu tujuan yang nyata iaitu mendapat kebebasan.

[32] Abdullah Bin Ayub, Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957-1963, hlm 31.

[33]Mansoor Marican, Federelisme: Sistem Kerajaan Malaysia, dalam Zuraina Majid, Masyarakat Malaysia, hlm. 86.

[34] Zakiah Hanum, Tercabarnya Maruah Bangsa , hlm. 17.

[35] Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, hlm 256.

[36] Mohd Salleh Abas,Prinsip Perlembagaan & Pemerintahan di Malaysia, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,1997, hlm19.

[37] Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu,Hlm 256. PKM telah merosakkan ladang-ladang getah dan lain-lainya, merosakkan sistem pengangkutan awam, menyerang orang awam,pelabur dan pegawai-pegawai British,melancarkan mogok dan sabotaj perindustrian. Rujuk Abdullah bin Ayub Cara Pemerintahan Tanah Melayu 1957-1963, hlm 31.

[38] Ibid.